KUALA LUMPUR, 23 Jun – PAS menafikan gambar yang tular menyatakan Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz bersama 7 ahli parlimen lain keluar dari kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan PAS.
Naib Presiden PAS, Senator Idris Ahmad dalam hantaran di media sosialnya berkata, gambar yang tersebar sejak Isnin lepas bertujuan untuk memfitnah dan membecah belahkan parti PAS dan PN.
“Sejak semalam (21 Jun) gambar ini tersebar oleh pemfitnah yang maha jahat,
“Saya jawab mudah ja, sebab apa tidak sebut 19 MP PAS keluar, tidak sokong PN, baru rare,” katanya.
Beliau berkata, tujuan fitnah ini tersebar untuk menimbul keresahan rakyat, bahawa kerajaan PN akan jatuh.
“Untuk alih isu masalah dalaman musuh PN dan penuhi modus operandi mereka, target setiap pimpinan PAS akan difitnah,
“Yang penting biar fitnah ini ditularkan dahulu, mereka yakin ada yang percaya. Walau pun setelah dinafikan,” jelasnya.
Dalam masa sama, mereka hendak intip pimpinan sibuk menjawab dan tidak sempat hendak menerangkan mengenai perjalanan parti.
“Mereka hendak menimbul keresahan di kalangan ahli. Mereka hendak supaya kejayaan bagi vaksin pada rakyat ditenggelamkan,
“Ingat! lepas ini banyak lagi fitnah akan ditularkan. Mereka boleh buat apa sahaja, sementara jari masih boleh bergerak untuk buat fitnah,
“Biar mereka buat sehingga malaikat maut ambil nyawa mereka. Mungkin terlalu banyak makan makanan haram maka ia sanggup buat apa sahaja. Hati sudah keras,” ujarnya.
Sementara itu, Nik Mohamad Abduh menerusi hantaran di Facebooknya mengingatkan supaya tidak bermain-main dengan fitnah.
“Janganlah bermain-main dengan fitnah. Anda sedang mempermainkan peringatan besar nabi صلي الله عليه وسلم kepada umatnya di akhir zaman,
“Ia merosakkan hati dan memalingkannya daripada menerima dan mencintai kebenaran,” kata hantaran itu.
Terdahulu, tular sekeping gambar Nik Mohamad Abduh di media sosial yang bertulis ‘Saya ikut jejak UMNO keluar kerajaan PN, PAS, PPBM, PERIKATAN NASIONAL. Insya-Allah bersama tujuh ahli Parlimen PAS’. – airtimes.my