Home PolitikPakatan Harapan PH persoal tindakan kerajaan beli 500 buah ambulans

PH persoal tindakan kerajaan beli 500 buah ambulans

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 22 Jun – Pakatan Harapan (PH) mempersoalkan tindakan kerajaan membeli 500 buah ambulans yang mempunyai sistem tekanan negatif, penapis HEPA dan lampu UV disaat negara mempunyai keperluan lain yang lebih mendesak dalam memerangi COVID-19.

Jawatankuasa Kesihatan PH dalam satu kenyataan berkata, pembelian ini yang menelan belanja sebesar RM300 juta menimbulkan pelbagai persoalan dan spekulasi.

“Apakah rasionalnya? apakah pula data yang ditunjukkan dalam penyelenggaraan pesakit COVID-19 ini sehingga menyebabkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba memutuskan untuk membeli ambulans jenis ini dan sebanyak itu,

“Berapakah jumlah anggota frontliners yang mengendalikan pengangkutan pesakit atau jenazah pesakit COVID yang telah terjangkiti ataupun menyumbang kepada kluster baru di negara ini? soalnya.

Jawatankuasa Kesihatan PH yang dianggotai 12 individu menyatakan demikian bagi mengulas kenyataan Dr. Adham Baba bahawa pemilikan aset itu penting khususnya di lokasi bilangan pesakit COVID-19 yang tinggi.

Ia dianggotai bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad; bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye,; Ong Kian Ming (Ahli Parlimen Bangi); Datuk Dr Mohd Hatta Ramli (Lumut); Dr Kelvin Yil (Bandar Kuching); Sim Tze Tzin (Bayan Baru); Alice Lau (Lanang); Dr Siti Mariah Mahmud (Ecxo Selangor); Dr Norlelea Ariffin (Exco Pulau Pinang); Veerapan Supramaniam (Exco Negeri Sembilan); Dr Niekmah Adam (Amanah) dan Dr Zaliha Mustafa.

Menurut, jawatankuasa tersebut pembelian ini suatu pembaziran yang nyata dan tidak langsung membantu dalam penyelesaian krisis pandemik COVID- 19.

“Alangkah baiknya jika wang sejumlah itu digunakan untuk melaksanakan perkara-perkara seperti, mengambil lebih ramai sukarelawan dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Memperbanyakkan Program Ujian Saringan massa atau besaran-besaran, supaya isolasi segera dapat dilaksanakan kepada mereka yang di dapati positif. Cara ini sudah tentu dapat membendung rebakan jangkitan dengan lebih efektif,” jelas mereka.

Jawatankuasa tersebut mempersoalkan mengapa kementerian memulakan tender kepada 500 ambulans dalam keadaan yang tergesa-gesa dan adakah keputusan tersebut telah mendapat kelulusan kabinet.

“Apakah pelaksanaan tender ini dilakukan sevara terbuka atau bagaimana dan syarikat mana pula yang telah berjaya memperolehnya,

“Kita juga mendesak supaya Menteri memberikan jawaban kepada persoalan-persoalan ini dengan lebih telus, jelas dan dengan kadar segera,” ujarnya.

Jelas jawatankuasa tersebut, bajet sebesar ini sepatutnya digunakan untuk mempercepatkan pemberian vaksin dengan memperbanyakkan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) supaya akses kepada vaksin lebih mudah, termasuk menggalakkan dan mempermudahkan klinik swasta beroperasi sebagai PPV di komuniti.

“Memperluaskan lagi klinik mobile supaya vaksin dapat meliputi lebih ramai penduduk di kawasan pendalaman dan luar bandar,

“Memperbanyakkan lagi PPV pandu lalu sebagai akses mudah bagi mereka di kawasan-kawasan bandar dan pinggir bandar,” jelas jawatankuasa itu. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!