KUALA LUMPUR, 22 Jun – Kementerian Pertahanan akan menyalurkan sumbangan RM 300 setiap bulan kepada pesara tentera, Prebet Suria Mohamad Hassan, 59 yang tinggal bawah jejantas Jalan Loke Yew 6 sejak tahun lalu, untuk menambah pendapatan bagi mengurangkan bebanan dalam menyara kehidupan mereka sekeluarga.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihaknya melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) akan mengusahakan secepat mungkin proses tersebut agar membolehkan Prebet Suria menerima sumbangan itu pada bulan Julai ini.
“Prebet Suria ini mempunyai pencen iaitu sebanyak RM1,100 dan ia tidak mencukupi,
“Dari segi pendapatan pula, JHEV ATM akan memberikan bantuan sara hidup sebanyak RM300 sebulan. Kalau pemberian ‘one -off’ oleh kerajaan, memang dia (Prebet Suria) sudah dapat iaitu sebanyak RM 500,
“Apabila kerajaan mengumumkan pemberian ‘one -off’ RM500 kepada veteran tentera, beliau juga dapat RM 500 tersebut. Beliau juga penerima Pingat Jasa Malaysia (PJM) dan kita (kerajaan) telah memberikan bayaran ‘one-off’ kepada beliau,
“Jadi dengan pemberian tersebut diharap dapat membantu mengurangkan bebanan dan banyak lagi perkara lain yang berkaitan seperti dokumentasi anak akan kami uruskan,” katanya kepada pemberita selepas melawat pesara tentera Suria Mohamad di Flat Sri Johor, Cheras, hari ini.
Sebelum ini, media tempatan mendedahkan, kehidupan Prebet Suria bersama keluarga di bawah jambatan sejak November 2019.
Bekas pesara tentera itu yang bekerja sebagai penjual buah sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 tinggal di Flat Sri Sabah bersama keluarga mertua.
Namun, gara-gara jumlah penghuni yang ramai di situ melebihi 13 orang, memaksa Suria membawa isteri dan anak-anaknya tinggal di bawah jambatan.
Suria dan Azariyah berkahwin pada tahun 2012, yang mana ia adalah perkahwinan kedua buat mereka dan dikurniakan 4 anak berumur 9 hingga 3 tahun, selain seorang anak hasil perkahwinan pertama Azariyah.
Menurut kenyataan yang dilaporkan, Suria telah mendapat pencen sebanyak RM900 sebulan namun perlu membayar kepada ‘ah long’ sebanyak RM600 sebulan kerana membuat pinjaman untuk modal meniaga buah-buahan sebelum ini.
Dalam masa yang sama, Ismail Sabri turut menyeru kepada para veteran-veteran ATM yang mengalami kesukaran dan kesempitan hidup untuk berhubung dan melapor dengan JHEV supaya sumbangan atau bantuan dapat dihulurkan oleh anggota ini.
“Bagi veteran yang memerlukan bantuan, mereka perlu menghubungi persatuan veteran di daerah masing-masing supaya perkara ini dapat diangkat ke pihak yang lebih tinggi iaitu kepada JHEV negeri dan JHEV ATM,
“Kita ada 300 ribu bekas anggota tentera di seluruh negara. Walau setengahnya sudah berdaftar dengan JHEV tetapi masih ada 80 ribu anggota yang masih tidak berdaftar dengan JHEV,
“Jadi untuk mengesan mereka ini menjadi sukar kerana tiada data yang lengkap berkaitan mereka selepas pencen atau bersara. Kita tidak ada data tersebut,” tambahnya.
Beliau turut menegaskan, agar persatuan-persatuan veteran daerah untuk mengesan serta mengenal pasti anggota yang mengalami kesusahan hidup seperti Prebet Suria ini untuk diambil tindakan susulan.
Selain itu, Ismail berkata, pihaknya sudah berbincang dengan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa bagi menyegerakan perpindahan rumah buat keluarga tujuh beranak itu yang kini ditempatkan sementara di rumah transit di Flat Sri Johor, Cheras.
“Dewan Bandaraya Kuala Lumpur akan menyediakan unit flat untuk didiami secara terus dan kekal serta dengan cara sewa beli. Mereka sekeluarga akan berpindah dalam waktu terdekat kalau boleh sebelum akhir minggu ini,
“Flat itu terletak di Bandar Tun Razak berhampiran tempat dia berniaga, sementara pihak JHEV akan membantu dalam pengubahsuaian gerainya sebagai satu bantuan,
“Manakala, pembayaran sewa rumah terbabit akan diuruskan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan menerusi Baitulmal,”ujarnya. -airtimes.my
Galeri Gambar: