KUALA LUMPUR, 19 Jun – Seramai 58 pendatang asing tanpa izin (PATI) telah ditahan menerusi Operasi Benteng (Op Benteng) yang dilaksanakan semalam di seluruh negara.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pasukan keselamatan turut merampas 3 kenderaan darat dan 3 buah bot atau kapal.
“Dalam operasi itu, sebanyak 21 buah bot atau kapal turut dikesan di perairan negara melalui 7 aktiviti penglihatan,” katanya dalam kenyataan mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hari ini.
Dalam masa yang sama, Op Benteng yang melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) serta agensi-agensi keselamatan lain turut menjalankan 957 Sekatan Jalan Raya (SJR), semalam.
“Sebanyak 903 SJR melalui Operasi Penawar yang melibatkan ATM, PDRM dan RELA. Manakala Op Benteng PDRM sebanyak 45 SJR dan Op Benteng AKSEM (9),” ujarnya.
Selain itu, Ismail Sabri berkata Task Force Pematuhan oleh PDRM telah menahan 718 individu atas kesalahan ingkar arahan prosedur operasi standard (SOP).
“Daripada jumlah itu, seramai 663 individu telah dikompaun, 49 direman dan 6 lagi individu dijamin,
“Antara kesalahan direkodkan ialah individu gagal merekod butiran diri atau daftar masuk premis (148); tidak memakai pelitup muka (132); rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran (122); tiada penjarakan fizikal (103); tidak patuh arahan pergerakan (78); membawa penumpang berlebihan (53); premis gagal patuhi arahan (12); aktiviti pusat hiburan (2) dan lain-lain (68). – airtimes.my