Home Semasa Mesir sedia bantu Malaysia salur bantuan ke Palestin

Mesir sedia bantu Malaysia salur bantuan ke Palestin

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 18 Jun – Kerajaan Mesir menyatakan kesediaan membantu Malaysia dalam menyalurkan bantuan kemanusiaan dan perubatan kepada rakyat Palestin melalui sempadan Rafah yang merupakan satu-satunya pintu masuk menghubungkan ke Gaza.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kesediaan itu dinyatakan Presiden Mesir, Abdel Fattah Al Sisi ketika perbincangan beliau bersama pemimpin itu secara persidangan video, semalam.

Beliau berkata, perbincagan itu turut menyentuh mengenai isu serantau dan antarabangsa khususnya situasi terkini di Palestin.

“Malaysia memuji peranan konstruktif Mesir yang bertindak sebagai broker dalam perjanjian gencatan senjata antara Palestin dan Israel yang berkuat kuasa pada 21 Mei lalu,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Muhyiddin mengambil inisiatif untuk mengemukakan pandangan sudah tiba masanya Malaysia mengeratkan semula hubungan dengan Mesir dan perkara itu disambut baik Abdel Fattah serta mengalu-alukan perbincangan membabitkan pemimpin tertinggi kedua-dua negara dilakukan segera.

“Kami juga banyak menyentuh berkenaan isu-isu kepentingan bersama, khususnya dalam memupuk kerjasama lebih meluas dalam bidang ekonomi, perdagangan, pendidikan, pelancongan dan pembangunan infrastruktur,

“Mesir merupakan rakan dagang Malaysia yang terbesar di rantau Afrika Utara dengan nilai dagangan pada tahun lepas mencecah RM2.06 bilion,

“Sebagai antara negara pengimport minyak sawit Malaysia yang terbesar di Afrika, saya menggunakan kesempatan itu untuk menggalakkan pihak Mesir agar bukan sahaja terus mengimport komoditi ini dari Malaysia, malah meningkatkan jumlah import pada masa hadapan,” tambahnya.

Perdana Menteri memaklumkan beliau dan Presiden Mesir turut menyatakan kesediaan masing-masing untuk meningkatkan lagi kerjasama perdagangan Malaysia-Mesir pada masa hadapan.

Justeru itu, beliau mencadangkan agar kedua-dua negara menandatangani Comprehensive Economic Cooperation dan cadangan ini telah disambut baik oleh Abdel Fattah.

“Malaysia juga menyatakan penghargaan ke atas peluang-peluang pendidikan yang diberikan oleh Kerajaan Mesir kepada rakyat negara ini di mana buat masa ini terdapat kira-kira 8,000 pelajar Malaysia sedang mengikuti pengajian dalam pelbagai bidang seperti pengajian Islam, perubatan dan pergigian di beberapa universiti di negara itu,” katanya. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!