Home Semasa Dua ditahan terlibat penjualan pakej vaksin COVID-19

Dua ditahan terlibat penjualan pakej vaksin COVID-19

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 18 Jun – Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Bukit Aman berjaya menahan dua suspek warga tempatan berbangsa Cina yang disyaki terlibat dengan penjualan pakej Program Vaksinasi COVID-19 Selangor (SCVP), pada Rabu.

Pengarah JSJK, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menerima laporan daripada seorang Pegawai Perubatan pada 14 Jun 2021 mendakwa menerima makluman daripada rakannya mengenai tawaran pakej-pakej vaksin COVID-19 dijual pada harga RM450 untuk warganegara Malaysia dan RM800 untuk warganegara asing.

“Hasil siasatan dan risikan, kedua suspek membuat penawaran pakej tersebut melalui laman sosial Facebook dan panggilan telefon,

“Pelanggan yang berminat akan didaftarkan ke dalam program SCVP dan mana-mana pembeli yang berminat akan diletakkan dalam senarai menunggu, manakala bayaran perlu dibuat setelah nama mereka disenaraikan melalui aplikasi Selangkah,

“Suspek mendakwa kira-kira 30 orang telah dihubungi berkenaan pakej tersebut dan 10 peratus telah berminat untuk membeli pakej tawaran itu,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Semakan lanjut mendapati, pendaftaran program SCVP hanya dihadkan kepada syarikat dan belum dibuka kepada individu.

“Kedua-dua suspek masing-masing seorang lelaki dan wanita berumur 26 hingga 27 tahun direman dua hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Kamarudin turut menggesa orang ramai untuk sentiasa peka dan cakna dengan inisiatif vaksinasi yang dilaksanakan kerajaan bagi mengelak dari dimanipulasi oleh sindiket penipuan.

“Orang ramai dinasihatkan untuk menyalurkan sebarang maklumat berkenaan penipuan penjualan vaksin COVID-19 kepada pihak PDRM agar tindakan siasatan dapat dilaksanakan”, tambahnya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!