KUALA LUMPUR, 16 Jun – Ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat Pakatan Harapan menegaskan tiada keperluan untuk kerajaan melaksanakan darurat bagi menangani masalah penularan wabak COVID-19 di dalam negara ketika kini.
Dalam kenyataan bersama, Datuk Seri Saifuddin Nasution, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Loke Siew Fook berkata, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lebih ketat adalah kaedah terbaik dalam mengatasi masalah tersebut.
“Kami juga berpendirian bahawa persidangan Parlimen harus segera diadakan sebagai mekanisma semak dan imbang sesuai dengan prinsip demokrasi berparlimen di negara kita,
“Setakat hari ini, jawatankuasa ini masih belum lagi memuktamadkan sebarang keputusan mengenai tempoh melanjutkan atau menamatkan darurat untuk dipersembahkan kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan, hari ini.
Menurut mereka, sejak menganggotai jawatankuasa itu awal tahun lalu, dengan fungsi khas menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai pelanjutan atau penamatan darurat, mereka telah menyampaikan beberapa pandangan.
“Pandangan-pandangan ini menyentuh pelbagai perkara darihal pandemik COVID-19, vaksinasi, kematian harian, kemudahan hospital, keadaan ekonomi negara dan kesan kepada kehidupan rakyat,
“Kami juga menyampaikan pendirian bahawa pendekatan ‘Government Intervention’ dalam bentuk PKP dan darurat adalah 2 perkara yang berbeza dalam menangani pandemik COVID-19,” tambahnya. -airtimes.my