KUALA LUMPUR, 16 Jun – Malaysia menekankan pentingnya kerjasama antara negara ASEAN dalam memerangi wabak pandemik COVID-19 yang telah menjejaskan kesejahteraan rakyat dan pembangunan ekonomi serta kestabilan serantau.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut berkata, peranan sektor pertahanan perlu dipertingkatkan dalam mendepani isu keselamatan manusia (human security) yang perlu ditangani secara holistik.
Beliau berkata demikian ketika mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN Plus (ADMM-Plus) ke-8 yang diadakan secara maya hari ini.
Mesyuarat ADMM-Plus ini melibatkan Menteri-Menteri Pertahanan atau wakil dari negara anggota ASEAN dan 8 negara dialog Plus melibatkan Amerika Syarikat, Australia, China, India, Jepun, New Zealand, Republik Korea, dan Rusia serta Setiausaha Agung ASEAN ini dipengerusikan oleh Menteri Pertahanan II Brunei Darussalam, Mejar Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Awang Halbi Md Yussof.
Menurut kenyataan oleh Kementerian Pertahanan Malaysia, Ismail Sabri telah menekankan bahawa ruang siber yang bersifat dinamik memerlukan sektor pertahanan untuk sentiasa berwaspada dan peka, terutamanya terhadap ancaman siber yang boleh menggugat kestabilan negara.
“Beliau menjelaskan pandangan Malaysia bahawa kerjasama serantau dalam keselamatan siber, terutamanya melalui ASEAN merupakan cara terbaik untuk menangani ancaman siber dan membina keyakinan serantau,” jelasnya.
Pada masa yang sama, Ismail Sabri sekali lagi mengulangi pendirian Malaysia bahawa semua pihak perlu bekerjasama untuk memastikan keamanan, keselamatan dan kestabilan di Laut China Selatan.
Selain itu, beliau turut menyeru semua pihak agar lebih bersederhana dalam tingkah laku mereka di Laut China Selatan.
Menurutnya, Malaysia tidak akan sesekali berkompromi terhadap isu-isu berkaitan keselamatan dan kedaulatan negara.
Mesyuarat ADMM-Plus ke-8 diakhiri dengan Deklarasi Bandar Seri Begawan oleh ADMM-Plus bagi meraikan ulang tahun ke-15 ADMM.
“Semua negara bersetuju supaya ADMM terus menjadi platform utama kerjasama pertahanan multilateral di rantau ini, dengan ASEAN sebagai peneraju utama,
“Penyertaan Malaysia dalam mesyuarat ini menandakan komitmen berterusan Malaysia terhadap diplomasi pertahanan melalui kerjasama pertahanan dua hala dan pelbagai hala,” jelas kenyataan itu.-airtimes.my