KUALA LUMPUR, 16 Jun – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billal Shah berkenan menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.
Baginda bertitah demikian bagi membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh Ahli Dewan Rakyat.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan berkata, keputusan tersebut dibuat setelah Baginda berkenan berangkat menghadiri dan mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara, hari ini.
“Setelah memperhalusi semua pandangan para pemimpin parti politik, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat para pakar dari agensi-agensi kerajaan, maka Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin,
“Seri Paduka Banginda amat menyedari peranan Parlimen sebagai satu platform penting untuk wakil-wakil rakyat bersidang bagi membincangkan pelbagai isu khususnya berkaitan penularan wabak COVID-19,
“Ahli-ahli Dewan Rakyat boleh berbincang berkenaan peruntukan perbelanjaan kerajaan bagi membantu rakyat yang di dalam kesempitan dan sekaligus memulihkan semula ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Seri Paduka Baginda turut menzahirkan harapan agar angka jangkitan wabak COVID-19 dapat dilandaikan dengan segera dan berpandangan vaksinasi merupakan satu-satunya jalan keluar bagi mengawal penularan wabak COVID-19 di dalam negara.
“Sehubungan dengan itu, Baginda menzahirkan pandangan bahawa kerajaan perlu tegas memudahkan birokrasi dan mempercepatkan proses vaksinasi kepada rakyat agar matlamat imuniti kelompok 80 peratus dapat dicapai sewal mungkin,
“Seri Paduka Banginda turut menzahirkan pandangan bahawa perlu adanya pentadbiran kerajaan yang stabil dan kukuh serta berupaya berfungsi dengan efektif dalam menangani wabak COVID-19 serta memulihkan ekonomi negara,” ujarnya.
Terdahulu, Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu atas inisiatif Al-Sultan Abdullah diadakan bagi membincangkan usaha memerangi penularan jangkitan wabak COVID-19 dan pelaksanaannya semasa tempoh darurat.
Kesemua Raja-Raja Melayu hadir kecuali Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail yang diwakili Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, manakala Sultan Kelantan Sultan Muhammad V difahamkan tidak menghadiri sesi kali ini.
Perbincangan khas itu berlangsung kira-kira jam 2.30 petang tadi.
Ia merupakan kali kedua perbincangan khas seumpamanya diadakan di Istana Negara sejak Al-Sultan Abdullah menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Jan 2019. -airtimes.my