KUALA LUMPUR, 15 Jun – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengesahkan jangkitan melibatkan tempat kerja terus menyumbangkan kepada pertambahan kluster baharu COVID-19 di Malaysia dengan mencatatkan 1,328 kluster sehingga semalam.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sehingga 14 Jun 2021, sebanyak 147,040 kes positif COVID-19 telah dikesan hasil saringan di tempat kerja dengan kadar positiviti sebanyak 23.6 peratus.
Beliau berkata, sektor perkilangan melaporkan jumlah kes tertinggi dalam kategori kluster tempat kerja iaitu 95,156 kes yang membabitkan 639 kluster.
“Kebanyakan kes-kes positif yang dilaporkan dalam kategori kluster tempat kerja ini terdiri daripada bukan warganegara Malaysia iaitu sebanyak 100,086 kes (68 peratus) berbanding warganegara iaitu sebanyak 46,954 kes (32 peratus),
“Sektor pengilangan melaporkan jumlah kes tertinggi dalam kategori kluster tempat kerja, iaitu sebanyak 95,156 kes melibatkan 639 kluster,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Dr Noor Hisham berkata menurut rekod, Kluster Jalan Tiga Salak di Selangor yang membabitkan sebuah kilang di Kawasan Perusahaan Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang melaporkan jumlah kes tertinggi iaitu 873 kes setakat ini diikuti Kluster Industri Senawang, yang mencatat 752 kes.
“Seterusnya Kluster Industri Batu Berendam, Melaka mencatat 641 kes dan Kluster Jalan Padang Tembak Kelantan, Terengganu dengan 598 kes,” jelasnya.
Tegasnya, kelekaan terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan merupakan antara penyumbang kepada kes kluster tempat kerja.
Menurutnya, walaupun kementerian telah menetapkan pelbagai garis panduan dan SOP di tempat kerja seperti penjarakan fizikal, mengehadkan jumlah pekerja yang hadir ke tempat kerja dan sebagainya namun tahap kesedaran berkaitan kepentingan pelaksanaan SOP masih perlu dipertingkat.
“Masyarakat khususnya majikan dan pekerja perlu menyedari bahawa kepatuhan kepada garis panduan adalah untuk kebaikan mereka juga,” ujarnya.
Bagaimanapun, Dr Noor Hisham berkata usaha berterusan oleh majikan dalam menjalankan ujian saringan ke atas pekerja amat dihargai sebagai langkah awal bagi membendung penularan jangkitan di tempat kerja.
Sehingga semalam, Malaysia mencatakan 4,949 kes baharu COVID-19 dimana 6 kes disahkan kes import. Selain itu sebanyak 17 lagi kluster baharu dikesan dan kebanyakkan melibatkan jangkitan tempat kerja. – airtimes.my