Home Pertahanan dan Keselamatan APMM tahan bot nelayan tempatan gaji warga asing

APMM tahan bot nelayan tempatan gaji warga asing

by Nurulhuda

LANGKAWI, 15 Jun – Sebuah bot nelayan tempatan kelas B yang beroperasi dengan menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Maritim negeri Kedah dan Perlis pada kedudukan 2.1 batu nautika tenggara, Pulau Tuba, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, bot tersebut ditahan menerusi hasil risikan dan rondaan bot ronda melalui Operasi Benteng (Op Benteng) dan Operasi Aman (Op Aman).

Menurutnya, semasa dikesan, bot berkenaan sedang melakukan aktiviti menangkap ikan di luar kawasan yang dibenarkan dengan menggunakan pukat tunda.

“Hasil pemeriksaan mendapati, bot bernombor pendaftaran KHF 2652 dikendalikan 5 kru termasuk tekong, berumur antara 19 hingga 54 tahun,

“Tekong bersama 3 kru merupakan warga Thailand, manakala seorang lagi kru adalah warga tempatan,” katanya dalam hantaran di media sosial APMM, hari ini.

Mohd Zawawi berkata, tekong dan kru asing tersebut mempunyai dokumen pengenalan diri yang meragukan selain itu, kru warga tempatan bot berkenaan juga gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Pemilik bot juga disyaki melanggar syarat sah lesen serta disyaki melakukan kesalahan menggaji kru warga asing tanpa permit,

“Bot beserta 5 kru kemudian ditahan dan diiring ke Jeti Maritim Bukit Malut, Langkawi untuk tindakan lanjut,

“Kes disiasat di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63,” tambahnya.

Dalam masa sama, Mohd Zawawi berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dalam menguatkuasakan undang-undang dan akan mengambil tindakan sewajarnya.

“Pengusaha atau pemilik bot hendaklah mematuhi undang-undang demi memastikan kesejahteraan perairan negara,

“Justeru, orang ramai dan komuniti maritim khususnya dimohon agar dapat berkerjasama dalam menyalurkan laporan berkenaan aktiviti jenayah kepada pasukan keselamatan dengan segera,” ujarnya.-airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!