TEBEDU, 14 Jun – Tentera Darat Malaysia (TDM) telah mengusir 14 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba melolos masuk sempadan negara melalui lorong tikus melalui 4 kes berasingan dalam Operasi Benteng (Op Benteng) pada 1 hingga 11 Jun lalu.
Sel Perhubungan Raya, Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia berkata, pengusiran terkini dalam kejadian pada 12 Jun 2021 sekitar jam 10.30 pagi, iaitu melalui pasukan yang berkawal di Sektor Ladang Dafa di Biawak, Lundu telah menahan dan mengusir 3 individu dipercayai warga Indonesia.
“Mereka ditahan ketika berjalan kaki menuju ke arah sempadan kira-kira 2 kilometer dari Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Manakala kes yang mencatat angka tertinggi adalah kes pengusiran di Sektor Tebedu pada 11 Jun 2021 sekitar jam 1.15 pagi.
“6 PATI termasuk seorang wanita telah ditahan dan diusir kembali ke negara asal,
“Pelbagai alasan dan taktik digunakan mereka untuk menyelinap masuk ke Malaysia antaranya ingin bekerja dan atas desakan hidup impak daripada pandemik wabak COVID-19,” jelas kenyataan itu.
Tambahnya, anggota TDM akan terus komited menggalas tanggungjawab meneruskan inisiatif Op Benteng dalam mengekang kemasukan PATI ke Sarawak serta kegiatan jenayah rentas sempadan.
“TDM sentiasa bersedia mengawal sebilang masa dan meningkatkan lagi kesiagaan serta tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba melakukan jenayah dan membolosi sempadan negara,” ujarnya. -airtimes.my