Home Pertahanan dan Keselamatan Polis Marin tahan juragan, ubah suai tangki bot sorok 6,700 liter diesel

Polis Marin tahan juragan, ubah suai tangki bot sorok 6,700 liter diesel

by Nurulhuda

KOTA KINABALU, 13 Jun – Taktik juragan bot pukat tunda mengubah suai tangki bot berkenaan gagal mengaburi mata pihak berkuasa apabila ditahan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Kota Kinabalu di perairan Safma, kelmarin.

Operasi yang dilakukan pada jam 5 petang itu berjaya merampas 6,700 liter diesel dengan nilai keseluruhan rampasan termasuk bot berjumlah RM266,905.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Kota Kinabalu, Asisten Superintendan Roslan Awang berkata, pemeriksaan dijalankan ke atas bot pukat tunda itu menemukan 8 tangki yang diubah suai.

“8 tangki telah diubahsuai di bahagian dalam ruangan enjin kapal berisi lebih kurang 5,000 liter minyak diesel, manakala sebuah lagi tangki turut diubahsuai di bahagian haluan kapal dan berisi lebih kurang 1,700 liter minyak diesel,

“Keseluruhan minyak diesel yang disorokkan adalah dianggarkan sebanyak 6,700 liter,” katanya dalam hantaran di media sosial, pada Sabtu.

Roslan berkata, anggotanya turut menemui 1 Unit Portable Pump dan 1 Gulung Hose yang disembunyikan di atas kapal nelayan tersebut.

Menurutnya, juragan kapal lelaki tempatan berusia dalam lingkungan umur 63 tahun turut diperiksa dan mendapati gagal mengemukakan sebarang permit membeli, menyimpan, membawa dan memasarkan minyak Diesel daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan bernilai RM266,905,

“Bot pukat tunda tersebut bersama juragan ditahan dan dibawa ke Markas Operasi Polis Marin Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut dan kes disiasat dibawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” ujarnya. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!