JOHOR BAHRU, 13 Jun – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus komited membantu negara dalam menangani penularan wabak COVID-19 yang kini dilihat semakin membimbangkan.
Berdasarkan situasi semasa di beberapa negeri, ATM melalui Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera (PKAT) kini mengaturgerakkan Hospital Medan seterusnya di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HSAJB) bagi membantu mengatasi masalah kekurangan katil dalam merawat kes-kes COVID-19 negeri berkenaan.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, hospital medan ini akan menampatkan 60 katil bagi merawat pesakit COVID-19 tahap 3 dan 4 manakala 4 katil khas untuk Unit Rawatan Rapi (ICU).
Menurutnya, hospital medan berkenaan akan beroperasi sepenuhnya pada 17 Jun dengan sesi latihan awal dilakukan pada Selasa ini.
“Oleh kerana kes COVID-19 masih lagi tinggi di Johor ada kemungkinan berlaku kekurangan katil terutama di ICU. Oleh itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berbincang dengan ATM untuk bantu menambah bilangan katil di HSA,
“Pengoperasian hospital medan ini membabitkan seorang komander Hospital Medan iaitu Mejar Dr Khir Reza dengan dibantu oleh 3 pegawai dan 30 anggota perubatan ATM dari lain-lain pasukan,” katanya selepas melawat Hospital Medan di Hospital Sultanah Aminah, hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sehingga 11 Jun 2021, kadar penggunaan katil wad di hospital khusus COVID-19 negeri Johor adalah 92 peratus.
“Manakala, kesemua 6 hospital pakar yang mempunyai Unit Rawatan Rapi (ICU) di negeri Johor telah mempunyai pengisian melebihi 70 peratus,
“Hospital Medan ATM ini pula mempunyai 6 katil ICU dan 60 katil wad untuk pesakit kategori 3 & 4 dan dijangka beroperasi dalam masa terdekat,
“Terima kasih diucapkan kepada ATM yang sentiasa memberikan bantuan kepada KKM dalam perjuangan kita melawan COVID-19 ini,” katanya dalam hantaran di media sosialnya, hari ini.
Sebelum ini, ATM telah membantu pihak KKM dengan pembinaan dan pengoperasian Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang.
Kemudian, ATM membina Hospital Medan di Tawau, Sabah; Hospital Medan Penjara Pokok Sena, Kedah; Hospital Medan di Kapit, Sarawak dan Hospital Medan Kepala Batas, Pulau Pinang, khusus untuk ICU pesakit COVID-19.-airtimes.my