KUALA LUMPUR, 9 Jun – Yang di-Pertuan Agong Al- Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan untuk menganjurkan sesi Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara pada 16 Jun ini.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Isatana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan berkata, perbincangan Khas Raja-Raja Melayu ini berkaitan dengan usaha-usaha memerangi penularan jangkitan wabak COVID-19 dan pelaksanaannya semasa tempoh darurat.
Menurutnya, perbincangan khas ini adalah inisiatif Seri Paduka Baginda dan akan dipengerusikan oleh Baginda sendiri.
“Perbincagan khas ini adalah kali kedua seumpamanya diadakan di Istana Negara sejak Baginda menaiki tahta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Januari 2019,” jelas kenyataan itu.
Kali pertama Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu telah dianjurkan dan berlangsung pada 25 Oktober 2020 di Istana Negara.
Hari ini, Istana Negara menjadi tumpuan apabila beberapa pemimpin parti politik hadir mengadap Yang di-Pertuan Agong sejak jam 8 pagi tadi.
Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di Istana Negara melalui Pintu Utama pada jam 7.50 pagi sebelum kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaikinya beredar dari perkarangan istana pada jam 8.56 pagi.
Diikuti Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tiba di Istana Negara pada jam 10.35 pagi melalui Pintu 2 untuk menghadap baginda sebelum beredar pada jam 11.54 pagi.
Pada sebelah petang, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng bersama Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim tiba di Pintu 2, Istana Negara pada jam 1.57 petang dan kemudian beredar dari Istana Negara pada jam 3.12 petang. -airtimes.my