JOHOR, 9 Jun – Seorang lelaki terpaksa berputih mata apabila kenderaan dan 250 karton rokok seludup bernilai lebih RM37,500 miliknya dirampas oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua dalam Operasi Kontraban (Op Kontraban) di Senai, malam tadi.
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 2 Johor, Asisten Komisoner Muhd Zailani Abdullah berkata, suspek seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun ditahan dalam Op Kontraban kira-kira pukul 8 malam.
Beliau berkata, rampasan itu adalah hasil maklumat dan risikan serta pemantauan pihaknya selama 48 jam di lokasi berkenaan.
“Hasil pemantauan kelihatan seorang lelaki dewasa sedang memunggah sejumlah kotak berwarna coklat di bahagian belakang kenderaan miliknya dan menjumpai sejumlah kotak rokok disyaki tidak bercukai kastam,
“Turut dirampas sebuah kenderaan jenis Ford Ranger yang dipercayai digunakan dalam sindiket tersebut,” katanya dalam hantaran di media sosial, hari ini.
Muhd Zailani berkata, anggaran keseluruhan nilai rampasan dalam operasi ini termasuk kenderaan pacuan empat roda itu berjumlah RM107,500.00.
“Kesemua barang rampasan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967,” jelasnya.
Tambah beliau, operasi bersepadu dengan pihak Ibu Pejabat Daerah dan Balai Polis pesisir pantai akan ditingkatkan bagi membanteras sindiket penyeludpan ini.
“Kami (PPM Wilayah 2) akan sentiasa meningkatkan pengoperasian dan memperketatkan pengawalan terutamanya di perairan negara dari dibolosi sindiket penyeludupan ini yang dilihat sentiasa mengubah taktik bagi mengelakkan dari dikesan serta ditangkap oleh pihak berkuasa,
“Orang ramai diminta untuk menyalurkan maklumat tentang kegiatan atau aktiviti menyalahi undang-undang di persisiran pantai kepada pihak berkuasa,” ujarnya. -airtimes.my