Home Politik Darurat perlu ditamatkan – Anwar Ibrahim

Darurat perlu ditamatkan – Anwar Ibrahim

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 9 Jun – Proklamasi Darurat perlu segera ditamatkan kerana ia tidak membantu menangani penularan wabak pandemik COVID-19 di dalam negara.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sekiranya darurat diteruskan ia akan memberi kesan negatif kepada ekonomi.

Isu darurat tersebut adalah salah satu perbincangan Anwar bersama Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, pengurusan darurat bukan sahaja menyebabkan kerugian kepada negara, malah ia juga tidak membantu menangani permasalahan COVID-19 serta menjejaskan ekonomi terutama golongan berpendapatan rendah.

“Saya tengok semua langkah yang boleh dilakukan tidak memerlukan darurat, jadi saya merayu kepada Seri Paduka Baginda menghalangnya dilanjutkan walaupun Tuanku jelas mengatakan patuh kepada semangat Raja Berperlembagaan mengikut nasihat Perdana Menteri,” katanya kepada pemberita di Pagar 2 Istana Negara, hari ini.

Dalam masa yang sama, Anwar turut menjelaskan, tidak timbul soal tentang pembentukan kerajaan baharu dalam pertemuan tersebut.

“Buat masa sekarang, soal itu tidak dibangkitkan langsung,” tambahnya.

Terdahulu, Anwar tiba di Istana Negara dengan menaiki kenderaan Jaguar berwarna hitam pada pukul 10.37 pagi.

Sebelum itu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu tiba di Istana Negara pada jam 7.50 pagi untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong.-airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!