Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Laut 98 anak kapal KD Mahawangsa positif COVID-19

98 anak kapal KD Mahawangsa positif COVID-19

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 8 Jun – Kementerian Pertahanan mengesahkan seramai 98 kru Kapal Diraja (KD) Mahawangsa positif COVID-19.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, semua anak kapal berkenaan telah menjalani ujian RTK Antigen COVID-19 sebelum menaiki kapal berkenaan dan didapati negatif.

“Selepas berada beberapa hari di dalam kapal mereka didapati positif, setakat ini semua anak kapal terlibat tidak mengalami sebarang simptom dan mereka telah diasingkan. Kini meraka sedang menjalani kuarantin,

“InsyaAllah selepas 10 hari mereka akan menjalani ujian PCR dan jika negatif mereka akan dibenarkan keluar,” katanya ketika sidang media selepas melakukan tinjauan di Pusat Pemberian Vaksin Pandu Lalu Tentera Darat di Kem Perdana Sungai Besi, hari ini.

Turut hadir Menteri Kesihatan, Datuk Sri Dr Adham Baba, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Sri Muez Abd Aziz dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Datuk Sri Affendi Buang TUDM.

Ismail Sabri berkata, pihaknya masih belum dapat memastikan punca sebenar anak kapal KD Mahawangsa dijangkiti virus COVID-19.

“Kesemua mereka telah menjalani kuarantin selama 5 hari dan tempoh itu ditamatkan selepas mendapat arahan lanjut daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),

“Kita tidak tahu mereka bermula (punca) daripada mana atau dari rumah. Seperti kita tahu, COVID-19 berada dalam komuniti, mungkin di tempat lain sebelum pergi belayar,

“Cuma kita tahu sebelum naik negatif, selepas naik dengan ujian PCR baru diketahui positif,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya sedang dalam perbincangan dengan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) COVID-19 Kebangsaan untuk memohon peruntukan vaksin tambahan bagi Kementerian Pertahanan daripada pembekal, Pharmaniaga Berhad.

Menurutnya, dengan kaedah itu, imuniti berkelompok bagi anggota tentera, kakitangan awam yang bekerja di Kementerian Pertahanan dan keluarga dapat dicapai dengan segera.

“Secara amnya kita mempunyai seramai 500,000 orang anggota termasuk keluarga mereka, kita sasarkan seramai 200,000 orang menerima vaksin sebulan dan mencapai imuniti dalam tempoh 3 bulan,” jelasnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!