Home Semasa Tidak kemaskini MySejahtera bukan satu kesalahan – Ismail Sabri

Tidak kemaskini MySejahtera bukan satu kesalahan – Ismail Sabri

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 7 Jun – Kegagalan mengemaskini aplikasi MySejahtera tidak menjadi kesalahan berdasarkan kepada Akta 342 Pencegahan dan pengawalan penyakit berjangkit COVID-19 di Malaysia.

Namun, sebagai warga yang mahukan penularan wabak COVID-19 ini terputus, masyarakat perlu berintegriti dan mempunyai rasa tanggungjawab terhadap pengisian dan perincian yang terkandung dalam aplikasi MySejahtera berkenaan.

Sehubungan itu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan menyarankan agar mana-mana kompaun yang telah dikeluarkan atas kesalahan terbabit perlulah dibatalkan.

“Pegawai penguatkuasa juga disarankan supaya tidak salah dalam membuat sebarang tafsiran berhubung SOP yang telah dikuatkuasakan oleh kerajaan,

“Hal ini juga termasuklah dengan kesalahan yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) melibatkan syarikat atau kilang yang beroperasi melebihi masa yang ditetapkan,

“Jika ia berlaku, maka tindakan penguatkuasaan perlulah dibuat kepada majikan atau syarikat yang memaksa pekerja melakukan tugas lebih dari masa yang ditetapkan,

“Kesalahan bukan dilakukan oleh pekerja kerana mereka terpaksa akur kepada arahan majikan maka tindakan kompaun boleh dikeluarkan kepada pihak syarikat, kilang atau majikan yang memberikan arahan,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hari ini.

Beliau berharap segala salah faham dan kekeliruan yang timbul sebelum ini dapat diperbaiki dan menyeru semua pihak agar sama-sama berusaha untuk mengekang penularan COVID-19 di dalam negara.

“Sejak beberapa hari ini timbul kekeliruan berhubung beberapa perkara termasuklah salah faham penggunaan aplikasi MySejahtera dengan terdapatnya anggota penguatkuasa yang mengeluarkan kompaun kepada mereka yang gagal melakukan kemaskini MySejahtera,

“Aplikasi MySejahtera merupakan aplikasi yang dibangunkan oleh kerajaan untuk membantu dalam pengawasan penularan wabak COVID-19 di dalam negara dengan membolehkan pengguna melaksanakan penilaian kesihatan kendiri,

“Justeru, aplikasi ini bukan hanya untuk kita mengimbas sekiranya memasuki sesuatu tempat tetapi yang lebih penting adalah melakukan kemaskini setiap hari, malah setiap masa sekiranya perlu bergantung kepada pergerakan serta aktiviti kita pada hari terbabit,

“Sebagai rakyat, kita bukan hanya perlu jujur dalam memberikan maklumat berkaitan diri kita tetapi juga memegang amanah untuk memastikan setiap maklumat yang diberikan adalah tepat dan benar, termasuklah sekiranya mendapat symptom atau mempunyai kaitan dengan mereka yang telah dijangkiti COVID-19,

“Aplikasi ini adalah untuk memudahkan kita khususnya dalam keutamaan memastikan keselamatan sosial untuk kepentingan kesihatan agar kes positif, kontak rapat, kontak kasual dan sebagainya akan dapat ditangani dengan segera,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan, mana-mana syarikat yang masih menetapkan pekerjanya bertugas di tempat kerja atau datang ke pejabat biarpun ada arahan untuk melaksanakannya di rumah (work from home), maka kompaun adalah kepada majikan juga.

Tambahnya, pelaksanaan total lockdown atau sekatan perjalanan penuh yang bermula sejak Selasa lalu, telah menunjukkan penurunan kes baharu COVID-19 dan berharap trend ini akan berterusan sehinggalah negara dapat mengekang sepenuhnya penularan wabak pandemik ini.

Dalam hal ini, operasi pematuhan SOP sepanjang PKP masih terus ditingkatkan dengan penguatkuasaan dilaksanakan secara holistik membabitkan semua peringkat.

“Kita perlu akui bahawa penguatkuasaan dilaksana dan kompaun dikeluarkan adalah bagi memastikan setiap individu patuh kepada arahan atau SOP yang telah dikuatkuasakan,” jelasnya. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!