LABUAN, 7 Jun – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sandakan telah menahan dan mengusir 2 buah bot bersama 2 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) Filipina ketika cuba menceroboh masuk perairan negara, berhampiran Pulau Berhala, semalam.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sandakan, DSP Rusdin Banin memaklumkan, operasi pengusiran tersebut dilakukan oleh anggota pasukanya yang sedang melakukan rondaan kira-kira jam 7.00 pagi dan 4.30 petang di perairan tersebut.
“Semasa membuat rondaan dikawasan tanggungjawab, PPM Sandakan telah mengesan 2 buah bot dalam keadaan yang mencurigakan dari perairan jiran yang memasuki perairan negara sebelum ianya berjaya dipintas,
“Hasil pemeriksaan polis, mendapati 2 lelaki dewasa masing masing berada didalam bot dan mendakwa berasal daripada Pulau Taganak Filipina,
“2 buah bot tersebut kemudiannya di usir keluar dengan diiring sehingga keluar dari perairan negara,” katanya dalam hantaran di laman sosial milik PPM Wilayah 4, hari ini.
Dalam masa yang sama, Rusdin Banin berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba membolosi persempadan negara.
“PPM Wilayah 4 akan sentiasa komited dalam menjalankan tanggungjawab menguatkuasakan kawalan pergerakan di kawasan perairan negara khususnya Sandakan bagi mengekang penularan wabak penyakit pandemik COVID-19,
“Masyarakat persisir pantai dan maritim khususnya digalakkan untuk menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan dan kemakmuran setempat tergaja serta terkawal,” tambahnya. -airtimes.my