CYBERJAYA, 7 Jun – Seramai 156 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam serbuan di penempatan haram, pada Ahad.
Operasi bersepadu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) dilakukan bermula pada jam 10 malam tadi.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud berkata, tangkapan tersebut membabitkan 42 orang warga Indonesia, Bangladesh (62), Nepal (20), Myanmar (29), masing-masing seorang dari Pakistan dan India.
Menurutnya, penempatan tersebut agak tersembunyi kerana dilindungi oleh pagar yang dibina di sekeliling kawasan yang bersebelahan dengan tapak pembinaan di Cyberjaya.
“Dalam operasi ini, seramai 202 orang warga asing telah diperiksa. Daripada jumlah tersebut, seramai 46 telah dibebaskan mempunyai permit kerja yang sah,
“Manakala seramai 156 telah ditahan dan akan di bawa ke pusat saringan di Depot Imigresen Semenyih,” katanya dalam hantaran di laman sosial JIM, hari ini.
Khairul Dzaimee berkata, kawasan penempatan warga asing tersebut dibina secara haram dan langsung tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) COVID-19 yang ditetapkan oleh kerajaan.
“Rumah pekerja asing di situ tidak mempunyai sistem perparitan dan kumbahan yang teratur. Manakala bekalan elektrik dan bekalan air juga di sambung secara tidak sah,” tambahnya. -airtimes.my