KUALA LUMPUR, 5 Jun – National Task Force (NTF) akan meningkatkan kawalan di sempadan negara ekoran laporan media Indonesia berhubung kehadiran 81 orang pelarian Rohingya yang dikesan di pesisiran pantai di Acheh Timur, Indonesia pada Jumaat.
NTF dalam satu kenyataan berkata, menerusi Operasi Benteng (Op Benteng) pihaknya bersama 19 agensi keselamatan dan penguatkuasaan akan meningkatkan kesiagaan dan mengaturgerak aset-aset maritim berdekatan perairan antarabangsa.
Selain itu, pemantauan radar dan aset udara juga dilaksanakan bagi mengesan sebarang pergerakan bot-bot yang mencurigakan.
“NTF juga akan meningkatkan pemantauan sebarang cubaan kemasukan Pendatang Tanpa Izin (PATI) dari exit point Tanjung Balai, Medan dan Dumai ke titik-titik pendaratan haram serta lorong tikus di sepanjang Pantai Barat Semenanjung,” katanya.
NTF memandang serius laporan media yang dikeluarkan oleh media dari Indonesia mengenai kehadiran 81 orang pelarian etnik Rohingya yang dikesan di sekitar pesisir pantai Kuala Simpang Ulim, Simpang Ulim, Acheh Timur, Indonesia pada 4 Jun 21 jam 07.00 pagi (waktu Indonesia Barat).
“Menurut laporan tersebut, kumpulan pelarian Rohingya berkenaan terdiri daripada 70 orang dewasa dan 11 orang kanak-kanak,
“Mereka telah berjaya mendarat pada malam atau awal pagi 03 Jun 21 yang mana pada asalnya adalah berjumlah 90 orang namun 8 orang telah meninggal dunia dan seorang hilang di laut,” ujarnya.
Pada masa sama, NTF telah menerima dua laporan pergerakan bot dan motherboat Rohingya berlepas daripada Kem Cox’s Bazar, Bangladesh pada Februari dan April 2021 lalu dan memantau rapat sebarang pengumpulan maklumat berkaitan.
“Berdasarkan analisis dan risikan semasa, NTF percaya terdapat percanggahan maklumat setelah dibuat penilaian pendaratan terbaharu ini dengan fakta, sejarah dan trend serta modus operandi sindiket penyeludupan migran Rohingya ke perairan Malaysia-Indonesia,
“Merujuk kembali kepada kes pendaratan Rohingya pada tahun 2019 – 2020, etnik Rohingya dibawa secara runcit ke Malaysia menggunakan bot-bot nelayan yang dipercayai menerima upah dari sindiket untuk membawa masuk pelarian dari sebuah bot besar di perairan antarabangsa,” jelasnya.
Sehubungan itu, NTF percaya pendaratan ini juga menggunakan modus operandi yang hampir sama dan masih terdapat sebuah motherboat yang berada di perairan antarabangsa yang berkemungkinan telah melepaskan sebahagian Rohingya untuk mendarat di Acheh Timur dan bakinya masih menunggu masa untuk dibawa mendarat ke Malaysia.
“Pendaratan di Acheh Timur dilihat sebagai salah satu taktik ‘diversion’ yang dilakukan oleh sindiket bagi mengaburi pergerakan memasuki Malaysia secara runcit menggunakan bot nelayan tempatan atau asing tanpa dikesan pihak berkuasa,” ujarnya.
Dalam pada itu, NTF turut menyangkal dakwaan mangsa yang mengatakan bot pelarian Rohingya ini telah ‘ditolak’ untuk memasuki perairan Malaysia adalah tidak benar memandangkan tiada sebarang pertemuan berlaku di antara pihak berkuasa Malaysia dengan bot tersebut.
Mengulas lanjut, NTF menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan sindiket dan pengkhianat negara yang terlibat dengan penyeludupan pelarian Rohingya dan PATI ke negara ini.
“Tindakan keras akan dikenakan di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ANTIPSOM) 2007,
“NTF bersama 19 agensi keselamatan dan penguatkuasaan akan terus melaksanakan operasi bersepadu memperketatkan kawalan sempadan negara dalam mengekang kemasukan imigran disamping mengawal penularan wabak COVID-19 yang semakin serius di Malaysia,” katanya lagi.
Sementara itu, NTF juga berharap dan menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia agar bertindak sebagai mata dan telinga kepada pasukan keselamatan dan agensi penguatkuasaan negara.
“Sebarang maklumat berkaitan kemasukan PATI yang melalui titik pendaratan haram dan lorong tikus boleh dilaporkan ke talian Hotline NTF 011- 6251 1223,” jelasnya. – airtimes.my
Gambar galeri: