KUALA LUMPUR, 5 Jun – Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dijangka akan membincangkan insiden pencerobohan Tentera Udara Republik Rakyat China (PLAAF) dengan rakan sejawatnya dari China, Wang Yi di luar Mesyuarat Khas Menteri Luar ASEAN-China di China pada 7 Jun ini.
Wisma Putra dalam kenyataan berkata, Hishammuddin akan mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat di Chongqing itu sempena ulang tahun ke-30 Hubungan Dialog ASEAN-China.
“Semua Menteri Luar ASEAN dan Wang Yi serta Setiausaha Agung ASEAN dijangka menghadiri mesyuarat itu,
“Semasa Mesyuarat Khas itu, Menteri Luar ASEAN dan China akan bertukar pandangan bagi meneroka cara dan kerjasama dalam menangani wabak COVID-19, selain perkara-perkara serantau serta antarabangsa yang menjadi perhatian bersama,” katanya.
Selain itu, Hishammuddin bersama Wang Yi dijangka mengadakan mesyuarat dua hala bagi meneroka perkongsian yang lebih substantif dan dinamik antara kedua-dua negara dalam pelbagai bidang termasuk kerjasama dalam vaksin COVID-19, pembangunan infrastruktur, kewangan, ekonomi digital, pengeluaran makanan serta pertanian berteknologi tinggi.
“Kedua-dua menteri juga akan bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau, antarabangsa, dan juga situasi di Laut China Selatan,
“Pada 3 Jun, Wisma Putra telah memanggil Duta Besar China di Malaysia dan menyerahkan nota diplomatik berhubung insiden pesawat China masuk dalam ruang udara Malaysia,” ujarnya.
Tambahnya, kedua-dua menteri akan membincangkan kaedah terbaik untuk memastikan insiden tersebut tidak berulang demi menjaga keamanan dan kestabilan, serta mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini. – airtimes.my