KUALA LUMPUR, 5 Jun – Cadangan menamakan individu lain selain Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri, disifatkan sebagai sekadar usaha memecahbelahkan Pakatan Harapan (PH).
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, tindakan mencurigakan umpama ‘sebelah tangan bersalam dan sebelah tangan lagi memegang pisau’ mestilah dijauhkan dalam gabungan itu.
Serentak itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Johor Bharu itu turut mencadangkan agar golongan anak muda AMK yang berpotensi perlu segera dikedepankan terutama dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 bagi meneruskan kelangsungan perjuangan PKR.
“Ini perlu diambil serius oleh kepimpinan parti terutama sekali untuk mendapatkan kembali kerusi-kerusi yang dikhianat dan menawan kerusi yang belum dimenangi. Pemilihan calon perlulah lebih ketat, individu yang diragui kesetiaan kepada perjuangan reformasi ini perlulah ditolak sama sekali.
“Kita tidak mahu pisang berbuah dua kali,” katanya dalam ucapan dasar persidangan tahunan AMK Kongres Nasional Tahunan PKR 2020 yang mengambil tema ‘Mendukung Prinsip, Mempertahan Demokrasi’, diadakan secara maya pada Sabtu.
Akmal turut mencadangkan agar bendera PKR menjadi logo mewakili PH dalam menghadapi PRU yang akan datang sebagai usaha menggembleng kekuatan dan mengembalikan keyakinan rakyat.
Beliau turut menyentuh soal pengurusan impak Covid-19 yang antara lain mencadangkan agar kemudahan moratorium tanpa caj faedah kepada peniaga kecil sekurang-kurangnya untuk tempoh lima bulan, mengembalikan subsidi upah dan kemudahan pinjaman modal serta bantuan 30 sehingga 50 peratus daripada jumlah sewaan tapak perniagaan.
“Menteri juga sepatutnya mempertimbangkan cadangan AMK agar pasukan petugas rentas parti yang turut melibatkan Ahli Parlimen PH yang sehingga hari ini masih belum terjadi,” katanya.
Persidangan AMK pada Sabtu dijadual melibatkan 14 pembahas yang dijangka menyentuh isu kerjasama parti-parti pembangkang, pandemik wabak Covid-19, program vaksinasi kebangsaan, masalah ekonomi anak muda serta pendidikan dalam fasa Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). – Bernama