JOHOR BAHRU, 3 jun – Seramai 1,046 anggota keselamatan telah di tempatkan di 69 sekatan jalan raya (SJR) yang didirikan di seluruh negeri Johor bagi menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh 3.0 atau total lockdown bermula 1 Jun 2021.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, anggota yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) ditempatkan di lokasi susur keluar masuk lebuhraya, sempadan negeri serta sempadan-sempadan daerah mengikut prosedur operasi standard (SOP) PKP setiap negeri.
Selain itu, 3 SJR telah didirikan di lokasi PKPD di daerah Kluang dan Segamat serta 8 SJR untuk penugasan Operasi Benteng (Op Benteng) di negeri Johor.
“Sebanyak 15 SJR secara bergerak dilaksanakan di daerah Johor Bahru Selatan, Iskandar Puteri, Seri Alam dan Kulai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ayob Khan turut berkata, pihaknya telah mengeluarkan sebanyak 82 kompaun dalam tempoh 2 hari sejak PKP Penuh 3.0 dilaksanakan membabitkan kompaun keseluruhan bernilai RM210,500.
“Jumlah kompaun dikeluarkan pihaknya sejak 1 Januari hingga semalam pula adalah sebanyak 4,423,
“Kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, Iskandar Puteri dan Segamat mencatatkan jumlah pengeluaran kompaun terkumpul tertinggi,
“Antara kesalahan lazim yang dilakukan termasuklah gagal memakai pelitup muka; gagal mendaftar MySejahtera; gagal menjaga jarak fizikal; penumpang melebihi had kenderaan dan tidak mengimbas suhu sebelum memasuki premis,” tambahnya.
Beliau berkata, sebanyak 3,384 permohonan merentas negeri dan daerah telah diterima dari tempoh 1 Jun hingga 2 Jun 2021. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 3,296 permohonan telah diluluskan dan 88 ditolak,
“Selain itu, sebanyak 235 kenderaan telah diarahkan berpatah balik di SJR PKP dan PKPD,” jelasnya.
Menurutnya, dalam tempoh dua hari itu juga, polis telah memeriksa 17,512 premis di seluruh negeri Johor bagi memastikan tahap pematuhan kepada SOP yang ditetapkan.
“Antara premis diperiksa termasuklah pasar raya, restoran, pusat komersil, pusat perindustrian, rumah ibadat, terminal pengangkutan, pusat sukan dan rekreasi serta premis penjaja,” menurutnya.
Tambah beliau, pemeriksaan berkenaan dilakukan oleh seramai 1,598 pegawai dan anggota yang digerakkan secara aktif di seluruh Johor dengan pematuhan berada pada tahap 97 peratus. -airtimes.my