KUALA LUMPUR, 3 Jun – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan membuka 6 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) secara pandu lalu di kem-kem yang terpilih bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, program vaksinasi akan diberikan kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan keluarga terlebih dahulu.
Menurut Ismail Sabri, Kem Perdana Sungai Besi menjadi printis dan akan dibuka dalam tempoh terdekat.
“Jika konsep ini berjaya dilaksanakan, kita akan buka kepada orang awam pula dan tempatnya kita akan tentukan nanti,” katanya pada sidang media sempena pelancaran sumbangan hospital modular ATM di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan, hari ini.
Ismail Sabri berkata, Kementerian Pertahanan menyasarkan sekurang-kurangnya 1,000 sehingga 2,000 orang sehari akan diberi suntikan secara pandu lalu.
Pada hari ini, Ismail Sabri telah melawat, dry-run proses pemberian vaksin secara pandu lalu di HAT Tuanku Mizan.
“Konsep ini akan lebih mudah dan akan mempercepatkan lagi proses pemberian vaksin,
“Melalui proses yang lebih cepat, selesa dan selamat ini kita akan dapat mengekang penularan wabak COVID-19 dikalangan rakyat dengan lebih berkesan,” katanya.
Sebelum ini, Kementerian Pertahanan sudah memulakan program suntikan vaksinasi bagi pegawai dan anggota ATM secara berperingkat melalui peruntukan fasa 1 yang melibatkan 130,000 petugas barisan hadapan kesihatan dan keselamatan ATM.
“Sehingga 1 Jun, seramai 56,290 orang telah pun melengkapkan dua dos suntikan masing-masing,
“Kita menjangkakan dengan peningkatan bekalan vaksin negara dalam bulan Jun ini kita akan dapat mempercepatkan lagi proses ini dan diharapkan semua pegawai dan anggota dapat menerima suntikan mereka selewat-lewatnya pada penghujung Julai 2021,” jelasnya. – airtimes.my