Home Politik PEMERKASA Plus: Suntikan RM5 bilion tidak mencukupi, negara perlukan RM45 bilion – PH

PEMERKASA Plus: Suntikan RM5 bilion tidak mencukupi, negara perlukan RM45 bilion – PH

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 1 Jun – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sepatutnya lebih berani berbelanja untuk memangkin pertumbuhan ekonomi dan seterusnya menyelamatkan negara dari kancah kemelesetan di dalam negara.

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) dalam kenyataan berkata, suntikan tunai RM5 bilion sahaja langsung tidak memadai apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dijangka mendatangkan kerugian RM2.4 bilion sehari, serupa PKP 1.0 dahulu.

“Setelah meneliti pakej rangsangan ekonomi Pemerkasa PLUS berjumlah RM40 bilion yang diumum Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, PH berasa kecewa apabila mendapati hanya RM5 bilion adalah suntikan tunai baharu,

“Dan bukannya RM45 bilion suntikan tunai yang diperlukan ekonomi negara untuk mengatasi kesan teruk PKPP 3.0 terhadap ekonomi keseluruhannya,

“Kegagalan seluruh kerajaan untuk membendung wabak COVID-19 telah mengakibatkan rekod tertinggi kes serta kematian akibat COVID-19,” katanya.

Menurut kenyataan itu, kesan kerugian kepada ekonomi dijangka berjumlah RM60 bilion bagi PKP 3.0 kali ini.

“Suntikan terus RM45 bilion ke dalam ekonomi, berbanding RM5 bilion yang dilakukan kerajaan, akan benar-benar membantu mengurangkan kesan kerugian RM60 bilion tersebut.

“Perdana Menteri juga nampaknya meneruskan langkah ekonomi dan kebajikan ortodoks yang sama dengan memberi bantuan one-off,

“Walhal apa yang diperlukan sewaktu kita berada di dalam pandemik global ini adalah siri bantuan kewangan secara berkala untuk menyelamatkan pekerjaan, perniagaan, dan ekonomi negara kita,” tambahnya.

Selain itu, Majlis Presiden PH menjelaskan, bantuan kewangan bukan sahaja perlu bagi kelompok B40, tetapi golongan M40 bagi memastikan mereka tidak akhirnya tergolong ke dalam kelompok B40 nanti.

Justeru, PH menggariskan 5 perkara yang perlu digerakkan dalam memastikan suntikan dana RM45 bilion dapat memberi kesan terus kepada pekerja dan perniagaan.

  • Meningkatkan bantuan kebajikan bulanan ke RM1,000 termasuk bagi yang tidak bekerja, yang dijangka berjumlah RM7 bilion bagi 7 bulan ke depan sehingga lengkapnya Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) menjelang 31 Disember 2021 yang diharap mampu mencapai imunisasi kelompok meliputi 80 peratus penduduk.
  • Pelanjutan moratorium bayaran pinjaman bank secara automatik, tanpa melibatkan kelompok T20, sehingga PICK lengkap pada hujung tahun ini. Ini akan membantu 8 juta rakyat dan syarikat di Malaysia. Kos ini semestinya ditanggung industri perbankan, yang telah merekodkan keuntungan selepas cukai yang sihat berjumlah hampir RM23 bilion bagi 2020 berbanding RM32.3 bilion pada 2019.
  • Memberi insentif pengambilan pekerja bagi jangka masa 2 tahun, melibatkan insentif gaji RM500 sebulan bagi pekerja warganegara dan insentif pengambilan kerja RM300 sebulan bagi majikan, yang dijangka mampu mewujudkan pekerjaan bagi 300,000 rakyat Malaysia dan menelan belanja RM6.5 bilion setahun. Pengangguran di kalangan belia kekal tinggi iaitu pada kadar 13.4 peratus setakat Mac 2021.
  • 5 bilion bagi Kementerian Kesihatan untuk mempercepat serta mempermudah PICK, serta meningkatkan usaha saringan, mengenal pasti kontak rapat, serta merawat kes positif COVID-19, meningkatkan kapasiti serta keupayaan hospital termasuk peralatan perubatan dan sumber manusia untuk mengelak runtuhnya sistem kesihatan awam kita.
  • RM28 bilion dalam bentuk geran; subsidi upah, sewa dan utiliti; jaminan pinjaman dan pelanjutan kredit untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), pembinaan, peruncitan dan industri pelancongan yang terjejas teruk. Industri pelancongan kehilangan RM100 bilion tahun lalu, dan tanpa ‘talian hayat’ dari kerajaan sudah pasti industri ini akan hadapi masa depan yang amat kelam.

Sementara itu, PH turut mempertikaikan pengumuman bahawa Jemaah Menteri tidak akan mengambil gaji selama 3 bulan bagi disalurkan ke Akaun Amanah Bencana.

“Pemotongan gaji para menteri dan timbalan menteri tidak mampu mengimbangi kegagalan total kerajaan ini atau meredakan rasa takut rakyat akibat COVID-19,

“Para menteri masih menerima elaun bulanan sebagai Ahli Parlimen, malah lebih penting dari itu mereka masih mempunyai peruntukan tahunan RM5 juta,” jelas kenyataan itu.

Dalam masa yang sama, PH harapan turut mendesak kerajaan agar mempercepatkan pembukaan Parlimen dan menyarankan semua Ahli Parlimen termasuk pembangkang diberi peruntukan kawasan yang sama untuk membantu penduduk di kawasan mereka tanpa mengira parti mana yang disokong.-airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!