KUALA LUMPUR, 1 Jun – Seramai 7 pengarah baharu jabatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) antara 61 pegawai kanan terlibat dalam pertukaran berkuat kuasa mulai 1 Julai ini.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, Datuk Zamri Yahya dilantik sebagai Pengarah Cawangan Khas.
Turut dilantik, Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Ramli Din sebagai Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, menggantikan Datuk Zainal Abidin Kassim yang dilantik Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA).
Selain itu, Komisioner Polis (CP) Pentadbiran Jabatan Pengurusan, Datuk Zaini Jass dilantik Pengarah Pengurusan Bukit Aman; Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd Jalil Hassan dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah; Timbalan Pengarah KDNKA (Gerakan), Datuk Azri Ahmad sebagai Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard manakala Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Datuk Mohd Kamarudin Md Din sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil.
Manakala Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JPST), Datuk Azisman Alias kekal memegang jawatan tersebut namun beliau memangku pangkat CP.
Supt Komunikasi Korporat Urusetia Ketua Polis Negara (KPN), Superintenden Skandaguru Anandan berkata, Timbalan Pengarah JKDNKA (Pasukan Gerakan Khas); Datuk Mastor Mohd Ariff dilantik sebagai Timbalan Pengarah KDNKA (Gerakan) dengan memangku pangkat CP.
Setiausaha PDRM, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf sebagai Ketua Polis Pahang dengan memangku pangkat CP.
Dalam pada itu, Timbalan Pengarah (Pelucuthakan Harta/Perundangan/Tahanan) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Kamarul Zaman Mamat dilantik sebagai Ketua Polis Kedah dengan memangku pangkat CP dan Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik sebagai Ketua Urus Setia KPN (Penyelidikan dan Pembangunan) dengan memangku pangkat CP. – airtimes.my