Home Semasa Bantulah kami untuk anda dan keluarga – Dr Noor Hisham

Bantulah kami untuk anda dan keluarga – Dr Noor Hisham

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 31 Mei – “Petugas barisan hadapan sudah penat. Tapi kami masih gagahi demi menyelamatkan nyawa anda. Bantulah kami untuk bantu anda dan keluarga,” luah Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata demikian menerusi hantaran di media sosial awal pagi tadi selepas Malaysia merekodkan 78,017 kes sehingga Ahad.

Sehingga semalam, jumlah pesakit ditempatkan di Unit rawatan Rapi (ICU) mencecah 846 kes dengan 419 memerlukan bantuan alat pernafasan.

Negara terus merekodkan peningkatan kes baharu sebanyak 6,999 kes termasuk 4 kes import semalam.

Malaysia kini turut merekodkan sebanyak 2,729 kematian sejak pandemik melanda di negara ini awal tahun lalu dengan 79 kematian dilaporkan semalam.

Manakala, jumlah kes harian tertinggi pernah direkodkan adalah pada 29 Mei 2021 iaitu dengan 9,020 kes.

Dalam masa yang sama, Dr Noor Hisham turut menyeru semua pihak untuk bersama-sama memainkan peranan masing-masing dalam memutuskan penularan wabak COVID-19 ini.

Menurutnya, penularan COVID-19 di negara ini semakin meruncing dan jumlah kes yang dilaporkan saban hari menunjukkan tren kenaikan mendadak sehingga tidak mustahil jumlah kes akan terus meningkat.

“Kenaikan satu ribu sehingga dua ribu kes sehari adalah tidak mustahil. Kita telah melihat jumlah kes kematian tertinggi harian iaitu sebanyak 98 kes pada 29 Mei 2021 akibat COVID-19,

“Situasi ini juga mungkin akan berterusan dan tidak mustahil boleh terus meningkat lagi,” katanya.

Dr Noor Hisham menjelaskan, jumlah katil di Unit Rawatan Rapi (ICU), hospital-hospital COVID-19, Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) semakin berkurangan dan berkemungkinan tidak mencukupi.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga telah memberi amaran kemungkinan berlaku situasi di mana para doktor akan terpaksa membuat pilihan sukar untuk mengutamakan katil ICU bagi pesakit yang mempunyai potensi sembuh yang lebih tinggi berbanding pesakit yang potensi sembuhnya adalah lebih rendah,

“Ini adalah situasi sukar yang mendepani kita semua, dan KKM ingin menyeru semua pihak agar kita sama-sama berganding bahu bagi hadapi sekarang,” jelasnya. -airtimes.my

Hantaran di Facebook Dr Noor Hisham Abdullah yang memaparkan gambar petugas kesihatan sedang merawat pesakit serta pengurusan korban COVID-19.

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!