KUALA LUMPUR, 30 Mei – Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan tidak membenarkan aktiviti rentas negeri dan daerah membabitkan pasangan jarak jauh (PJJ) sepanjang pelaksanaan ‘total lockdown’ fasa pertama yang bermula Selasa ini.
Beliau berkata, sekatan ini adalah bagi memastikan penularan wabak COVID-19 berjaya dibendung terutamanya membabitkan kluster rentas negeri.
“Apa yang saya katakan tadi, semua rakyat perlu berkorban. Ada yang terpaksa menutup perniagaan sementara waktu dan terpaksa menutup kilang mereka,
“Jadi untuk PJJ juga, mereka perlu berkorban untuk 2 minggu ini. Kita telah membuat keputusan untuk tidak membenarkan mereka merentas daerah dan negeri,” katanya dalam sidang media bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, hari ini.
Beliau turut berkata, surat kebenaran merentas negeri dan daerah bagi perjalanan untuk bekerja yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) turut terbatal mulai 1 Jun 2021.
Menurutnya, kementerian yang terlibat akan mengeluarkan satu surat yang berkaitan dengan pekerja yang membenarkan mereka merentas daerah atau negeri untuk bekerja.
Namun, untuk kes yang membabitkan kecemasan seperti kematian, ahli keluarga sakit perlu mendapat kebenaran dari Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Surat kebenaran akan ditamatkan pada esok dan kementerian akan mengeluarkan surat baharu berkaitan bekerja,
“Jadi, ada 2 sumber saja yang boleh mengeluarkan surat kebenaran rentas negeri dan daerah iaitu kementerian yang berkaitan dengan bidang kerja serta pihak PDRM,” tambahnya.
Ismail Sabri turut menyeru kepada masyarakat agar lebih jujur ketika memohon kebenaran untuk merentas negeri atau daerah di Balai Polis. Ini kerana, terdapat banyak permohonan yang terpaksa ditolak oleh pihak polis berikutan kes-kes yang diragukan dan tidak munasabah.
“Terdapat kes di mana mereka benar-benar mahu melawat ibu atau bapa yang sedang sakit teruk, tetapi oleh kerana pihak polis begitu berhati-hati dalam pemberian kelulusan ini, ada kalanya permohonan terpaksa ditolak,
“Ini kerana terdapat permohonan yang meragukan dan pihak polis terpaksa berhati-hati meluluskan permohonan tersebut walaupun atas alasan kecemasan,
“Mungkin rakyat boleh menipu pihak polis, tetapi tidak boleh menipu penularan COVID-19 yang berada di mana-mana sahaja,” tambahnya. -airtimes.my