Home Semasa Balik raya cetus 124 kes COVID-19 di Hulu Terengganu

Balik raya cetus 124 kes COVID-19 di Hulu Terengganu

by Nurulhuda

KUALA TERENGGANU, 29 Mei – Kluster hari raya menjadi penyebab daerah Hulu Terengganu yang dahulunya diketegorikan zon hijau sejak penularan pandemik COVID-19 melanda negara bertukar kepada zon merah.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr Nor Azimi Yunus berkata, sebanyak 124 kes aktif telah disumbangkan melalui 5 kluster di daerah Hulu Terengganu kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) disebabkan sambut raya.

“Kluster raya ekoran pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) sewaktu sambutan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini dengan balik kampung dan ziarah mula menunjukkan kesannya di daerah Hulu Terengganu,

“Daerah yang dahulunya berstatus hijau sekian lama sekelip mata menjadi zon merah. Bukan sahaja Mukim Kuala Berang telah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) malah, mukim Hulu Telemong dan Tanggol turut dilanda badai akibat wabak COVID-19,” katanya dalam hantaran di media sosialnya, hari ini.

Beliau berkata, salah satu kluster yang dikesan adalah berpunca daripada individu yang pulang ke kampung dari Johor Baharu 2 hari sebelum hari raya. Seterusnya melakukan ziarah raya antara ahli keluarga terdekat dan akhirnya 24 orang disahkan positif.

“Kes tersebut turut merebak ke pasar di mana 4 pekerja am pasar berkenaan disahkan positif COVID-19,

“Bagaimana risiko peniaga dan pembeli di situ. Semuanya terdedah dan ditakuti jangkitan telah meluas tanpa sedar,”ujarnya.

Dr Nor Azimi menambah, terdapat satu lagi kluster yang menyebabkan 6 orang disahkan positif COVID-19 manakala ratusan menjadi kontak rapat disebabkan seorang individu yang pulang ke Bentong, Pahang sebelum beraya dengan jiran-jiran di taman perumahannya di sini.

Selain itu, terdapat juga kuster di Mukim Hulu Telemong yang mempunyai sejarah balik beraya dalam keadaan bergejala dari Melaka menyebabkan 10 pekerja di satu pejabat positif COVID-19.

“Tindakan seorang individu dari Johor yang pulang untuk berkahwin sekali gus melakukan ziarah raya menyebabkan 5 dikesan positif,

“Terdapat juga seramai 14 orang disahkan positif selepas melakukan ziarah ahli keluarga yang meninggal dunia di Marang,” tambahnya.

Katanya, walaupun berulang kali peringatan diberikan berhubung SOP dan larangan ziarah raya, namun nasihat itu diperlekehkan masyarakat berkemungkinan kerana mereka yakin tidak akan dijangkiti.

“Kita banyak kali bagi nasihat tangguh rentas negeri, tangguh semua majlis raya atau ziarah raya untu mengelakkan penularan wabak yang boleh membawa maut ini, tetapi kalian berterusan melanggar SOP,

“Sekarang musihabah telah berlaku angkara tangan sendiri dan bukan dari tangan orang lain. Tak perlu tuding jari kepada sesiapa, hakikatnya kita yang salah,

“Akhirnya kita menagis bersam-sama melihat angka kematian meningkat setiap hari merentas sempadan umur. Jangan sampai katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Terengganu sudah tidak berbaki,” tegasnya.

Sehingga semalam, Terengganu telah mencatatkan 8,164 kes COVID-19 dan 30 kematian sejak wabak ini melanda negara.

Semalam, Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut menjelaskan sebanyak 24 kluster berpunca dari sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Beliau berkata, sebanyak 850 kes telah direkodkan daripada kluster ini manakala seramai 3,309 individu telah menjalani ujian saringan.

“Data daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan kluster sambutan Hari Raya Aidilfitri paling tinggi direkodkan di Tumpat, Kelantan iaitu 224 kes. Selain itu, Kluster Simpang Sahari di Wilayah Persekutuan Labuan pula merekodkan 123 kes,

“Justeru, amat berharap rakyat terus patuhi SOP memandangkan kes positif semakin meningkat naik dan telah mencecah lebih 8,000 kes,” tegasnya. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!