KUALA NERUS, 29 Mei – Seramai 8 anggota dari Rejimen Ke-16 Askar Melayu Diraja (16 RAMD) telah diaturgerakkan bagi membantu melaksanakan pemasangan 17 gulung kawat duri di sebuah Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) yang bakal beroperasi di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Terengganu.
PKRC ini dibuka berikutan daripada peningkatan kes COVID-19 di negeri itu.
Pihak Briged Kelapan Infantri Malaysia (8 Briged) menerusi hantaran di media sosialnya berkata, anggota dari Rejimen 521 Askar Wataniah (Rej 512) dan Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APAM) Terengganu turut sama membantu pemasangan kawat duri tersebut.
“Kerjasama ini memperlihatkan salah satu komitmen pasukan di dalam penugasan Operasi Penawar di samping penugasan rutin seperti sekatan jalan raya (SJR) dan rondaan kenderaan bermotor,
“Melalui penyeliaan Penolong Pegawai Daerah Kuala Nerus, kawat duri telah dipasang mengelilingi blok penginapan sejauh 170 meter dan seterusnya bakal beroperasi sebagai PKRC di kawasan tersebut,” jelasnya.
PKRC UMT ini merupakan pusat kuarantin yang kelima dibuka bagi menampung jumlah pesakit yang semakin meningkat di negeri ini.
Sebelum ini, kerajaan negeri telah mewujudkan PKRC di Kem Wawasan Besut, Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Chendering, masing-masing di Kuala Terengganu.
Pengarah Kesihatan negeri, Doktor Nor Azimi Yunus berkata, pusat kuarantin itu boleh menempatkan 484 katil.
“Semalam, turut mula beroperasi ialah PKRC Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sultan Mizan di Besut dengan 398 katil,
“Kedua-dua pusat baharu itu adalah tambahan kepada 3 yang dibuka sebelum ini sekali gus menjadikan keseluruhan katil di negeri ini sebanyak 1,878,” ujarnya. -airtimes.my