KUALA LUMPUR, 28 Mei – Lembaga Getah Malaysia (LGM) mengesahkan belum ada sebarang urusan penjualan, pajakan atau urus niaga berkaitan lot tanah milik LGM iaitu Lot 20012 dan Lot 20013 di Jalan Ampang.
LGM dalam satu kenyataan hari ini berkata, mereka memandang berat kenyataan tidak benar dan kesalahan fakta yang tular di media sosial berkaitan isu penjualan serta pajakan hartanah miliknya.
“Semua penjualan atau pajakan tanah milik LGM perlu mendapat perakuan lembaga ini terlebih dahulu sebelum dimajukan kepada Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali untuk kelulusan,” katanya.
Menurutnya, LGM telah menerima permohonan daripada beberapa syarikat bagi membeli Lot 20012.
“Pertimbangan akan dibuat selaras dengan penilaian oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Kementerian Kewangan serta pandangan Jabatan Warisan Negara,” ujarnya.
Manakala bagi Lot 20013, tawaran pajakan telah dibuat secara tender terbuka dan telus oleh LGM Properties Corporation (LGMPC) iaitu perbadanan milik LGM, pada Oktober 2020.
“Terdapat beberapa syarikat yang telah menghantar permohonan melalui tender tersebut dan berdasarkan kriteria, proses serta prosedur ketat, Al-Noor Foundation telah terpilih setelah membida dengan bidaan tertinggi,” jelasnya.
Walau bagaimanapun, LGM berkata keputusan bagi pajakan Lot 20013 dan penjualan Lot 20012 masih belum diputuskan oleh Lembaga Pengarah LGM.
“Ini bermaksud, ia belum diangkat untuk pertimbangan dan persetujuan YB Menteri,” ujarnya lagi.
Sekali lagi, LGM menegaskan tidak ada sebarang perjanjian pajakan atau transaksi jual beli yang termeterai dengan mana-mana pihak.
“Mengikut peraturan, semua penilaian hartanah sama ada untuk pajakan atau penjualan akan dirujuk kepada JPPH sebelum kadar pajakan serta nilai pasaran semasanya ditentukan supaya memberi pulangan hasil yang terbaik untuk LGM,” jelasnya lagi.
Semalam, Facebook Sedar Malaysia mendedahkan beberapa surat rasmi yang bertarikh 18 Disember 2020, 5 Januari 2021, 18 Februari 2021, 11 Mac 2021 yang didakwa berkait dengan tanah dimiliki LGM dan turut membabitkan penglibatan Khairuddin.
Pendedahan tersebut, mendakwa pajakan Lot No 200013 diberikan kepada Al-Noor Foundation selama 35 tahun dengan harga pajakan RM0.70 satu kaki berbanding harga pasaran RM2.50 untuk tempoh 15+10 tahun dengan kenaikan kadar pajakan 10 peratus setiap lima tahun.
Dakwaan kedua membabitkan Lot 20012 di Jalan Ampang seluas 8.89 ekar yang dicadang dijual kepada Eurowhite Sdn Bhd pada harga RM1,032.92 satu kaki sedangkan harga pasaran adalah sekitar RM1,400 satu kaki. – airtimes.my