KUALA LUMPUR, 27 Mei – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis (IPK) Kuala Lumpur berjaya memberkas 2 lelaki Cina warga tempatan dan 2 wanita warganegara Vietnam berumur lingkungan 21 hingga 38 tahun dalam satu operasi khas, pada Sabtu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, ACP Adnan Azizon berkata, serbuan dilakukan di kawasan Taman Overseas Union dan sebuah kondominium di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.
“Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan jenis Perodua Myvi dan sebuah rumah, pihak polis berjaya merampas dadah yang disyaki serbuk MDMA sebanyak 1.28 kg dan 10 ribu biji pil erimin 5,
“Turut dirampas berupa barangan kemas dan wang tunai RM3,200.00,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Menurut beliau, berdasarkan siasatan pihaknya turut melakukan serbuan di sebuah kondominium di Subang Jaya, Selangor dan telah menahan seorang lagi lelaki Cina warga tempatan berumur 31 tahun.
“Pihak polis telah berjaya membuat rampasan dadah disyaki ketamin sebanyak 9.76 kg, 2.25 kg serbuk MDMA, seribu biji pil erimin 5 dan ectasy,
“Turut dirampas ialah sebuah kenderaan jenis Honda Accord dan wang tunai RM10,600.00,” ujarnya.
Tambahnya, ujian saringan awal air kencing dan semakan mendapati seorang lelaki Cina positif dadah jenis ketamin, manakala 2 suspek mempunyai rekod jenayah lampau.
“Nilai keseluruhan rampasan dan sitaan berjumlah RM457,280.80,
“Dengan tangkapan ini, pihak polis berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah yang didalangi warga tempatan dan asing,
“Keseluruhan dadah yang dirampas mampu dibekalkan kepada 16,293 orang penagih,
“Kesemua suspek direman 7 hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan,” tambahnya. – airtimes.my