Home Semasa Tajuddin: Bantuan khas RM1,000 kepada 213 mangsa insiden LRT

Tajuddin: Bantuan khas RM1,000 kepada 213 mangsa insiden LRT

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 25 Mei – Prasarana Malaysia Bhd akan memberikan bantuan khas sebanyak RM1,000 kepada 213 mangsa yang terbabit dalam insiden melibatkan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT), malam tadi.

Pengerusi Prasarana Berhad (Prasarana), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, bantuan tersebut akan diberikan kepada semua penumpang yang terlibat tanpa mengira tahap kecederaan yang dialami.

“Selain itu, kita juga akan memberi bantuan khas kepada mereka yang dimasukkan ke hospital termasuk menanggung kos perubatan, rawatan susulan dan sebagainya, sejak mula masuk hingga pulih semula,

“InsyaAllah, kita akan memberi sokongan perubatan kepada semua 64 penumbang yang dimasukkan ke hospital,” katanya pada sidang media, hari ini.

Menurut Tajuddin, jumlah bantuan khas kepada mereka yang dimasukkan ke hospital adalah tertakluk  kepada setiap kes.

Tambahnya, pihak Prasarana juga akan memberi bantuan kepada mereka yang hilang pendapatannya akibat kemalangan ini.

“Berapa hari mereka hilang pendapatan, tidak boleh bekerja, kami sangat prihatin kepada nasib keluarga mereka, mungkin yang ramai anak dan sebagainya,

“Jadi kita akan bantu untuk kelangsungan hidup sehingga dia boleh kerja balik seperti biasa,

“Prasarana akan melakukan yang terbaik untuk menjaga kebajikan penumpang,” katanya.

Dalam kejadian pada jam 8.45 malam tadi, seramai 213 penumpang cedera dengan 47 daripadanya cedera parah akibat pertembungan dua tren LRT laluan Kelana Jaya.

Kejadian itu berlaku di dalam terowong antara Stesen LRT KLCC dan Stesen LRT Kampung Baru, melibatkan satu tren yang membawa penumpang dan sebuah tren rosak yang sedang dipandu uji.

Kesemua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan lanjut. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!