KUALA LUMPUR, 25 Mei – Pasukan petugas khas yang ditubuhkan untuk menyiasat punca kemalangan membabitkan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya perlu dianggotai pakar-pakar bebas.
Bekas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pakar bebas berkenaan perlu berada dari kalangan mereka yang mempunyai kepakaran dalam bidang tren.
Menurutnya, pasukan khas yang diketuai Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak itu juga perlu diberi kebebasan untuk menyiasat semua aspek dalam insiden berkenaan.
“Pasukan petugas siasatan yang ditubuhkan Kementerian Pengangkutan mesti terdiri daripada pakar bebas dalam bidang tren dan diberi kebebasan penuh untuk menyiasat semua aspek dalam kemalangan itu,
“Laporan perlu diumumkan secara telus kepada orang ramai dan tindakan susulan untuk memperbaiki kelemahan mesti diambil segera bagi mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap aspek keselamatan dalam sistem pengangkutan awam negara,
“Sekiranya ia membabitkan kecuaian manusia, tindakan pendakwaan mesti diambil segera mengikut Akta Pengangkutan Awam Darat 2010,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kira-kira jam 8.45 malam tadi, dua buah LRT dari arah Gombak dan Kelana Jaya bertembung di antara stesen Kampung Baru dan KLCC.
Seramai 213 penumpang berada di dalam tren dari Gombak manakala hanya seorang pemandu tren dari arah bertentangan. Kesemua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan lanjut
Terdahulu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong dalam satu sidang media selepas melawat lokasi kemalangan itu mengumumkan akan menubuhkan pasukan petugas khas untuk menyiasat punca kejadian berkenaan.
Menurutnya, pasukan berkenaan akan menyiasat kejadian itu secepat mungkin dan hasilnya dijangka dikeluarkan dalam tempoh 2 minggu. -airtimes.my