PASIR PUTIH, 24 Mei – Dua buah bot milik nelayan Vietnam berputih mata apabila 1.3 tan ikan yang cuba dirompak di kawasan perairan Malaysia di negeri ini gagal dan dipatahkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan pada Jumaat lalu.
Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, pihaknya juga telah menahan 12 kru termasuk tekong dalam operasi tersebut.
Beliau berkata, kedua-dua bot tersebut telah ditahan dalam tempoh 25 minit oleh Kapal Maritim (KM) AMANAH ketika membuat rondaan Operasi Kuda Laut pada jarak lebih kurang 65 dan 67 batu nautika daripada Muara Tok Bali, Jumaat lalu.
“Hasil pemerikasaan ke atas bot pertama mendapati, 10 kru termasuk tekong, manakala bot kedua dikendalikan oleh 2 kru termasuk tekong,
“Kesemua mereka merupakan warga Vietnam berumur dalam lingkungan 22 hingga 53 tahun,” katanya dalam hantaran dalam media sosial APMM, malam tadi.
Menurutnya, tangkapan kali ini melibatkan rampasan ikan pelbagai jenis lebih kurang 1.3 tan (ikan campur dan ikan baja) serta bekalan diesel lebih kurang 7,300 liter.
Turut dirampas alat perhubungan radio, peranti ‘global positioning system’ (GPS) dan sejumlah pukat dan tali.
“Nilai keseluruhan tangkapan termasuk bot, hasil ikan, diesel dan peralatan menangkap ikan dianggarkan berjumlah lebih kurang RM 1.2 juta,
“Kedua-dua bot tidak memiliki permit untuk menangkap ikan di bawah Akta Perikanan 1985 dan telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 berikutan kesemua mereka tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,
“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan atau cuba menangkap ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia yang boleh membawa hukuman denda sehingga RM6 juta kepada tekong dan RM 600 ribu ke atas setiap kru,” tambahnya.
Muhd Nur Syam menjelaskan, kesemua 12 tahanan warga Vietnam tersebut menjalani ujian saringan COVID-19 oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan telah disahkan negatif. -airtimes.my