SANDAKAN, 23 Mei – Pasukan Polis Marin (PPM), Sandakan berjaya menahan 7 buah kapal nelayan jenis tunda kerana melakukan kesalahan menunda ikan dikawasan yang tidak dibenarkan di kawasan perairan Laut Manalunan, Sandakan, kelmarin.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Sandakan, DSP Rusdin Banin berkata, kesemua kapal tersebut telah ditahan ketika sedang melakukan aktiviti menangkap udang kira-kira 3 batu Nautika dari laut berkenaan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua bot berkenaan telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985, Seksyen 8 (b) iaitu melanggar syarat lesen kerana menunda kurang 3 batu nautika dari pesisiran pantai,
“Kesemua kapal dan awak-awak terdiri daripada warganegara Malaysia, Indonesia dan Filipina yang berdaftar telah ditahan,” katanya menerusi hantaran di media sosial PPM Wilayah 4, Sabah, semalam.
Selain itu, kesemua bot dan beberapa peralatan seperti pukat tunda dan pelbagai hasil laut dan saiz lebih kurang 71 kilogram turut dirampas.
“Bot nelayan yang ditahan telah dibawa ke Pangkalan Markas Operasi Pasukan Polis Marin Sandakan untuk pemeriksaan lanjut dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Jabatan Perikanan,
“Kes disiasat dibawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985. Bagi kesalahan pertama, pemilik kapal akan dikompaun sebanyak RM500, kesalahan kedua RM1,000 dan kesalahan ketiga RM1,500, dan sekiranya kesalahan berulang lesen boleh dibatalkan dan kapal akan disita,” ujarnya.
Menurut Rusdin, PPM juga telah mengusir sebuah bot laju yang dipercayai warganegara Filipina telah cuba masuk ke Sandakan daripada Pulau Taganak untuk memunggah hasil laut pada pagi semalam.
“Bot tersebut telah diusir dan diiringi keluar sehingga ke sempadan negara bagi mengekang penyebaran penyakit berjangkit Covid-19 selaras dengan Undang-undang Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988,” tambahnya. – airtimes.my