SEMPORNA, 22 Mei – Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna telah mengusir dua bot dari Filipina kerana cuba menceroboh perairan Malaysia, petang semalam.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Polis Marin Semporna, Deputi Superintendan Polis Mohamad Ismail berkata, semasa membuat rondaan di perairan laut Pulau Kulapuan dan Boheian Semporna, bot PPM telah mengesan dua buah pump bot berwarna kelabu dan putih.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut tiada nombor pendaftaran dan juragan serta anak perahu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri,
“Kesemua mereka berasal dari negara Filipina yang telah memasuki perairan Malaysia,” katanya dalam kenyaan menerusi laman sosial PPM W4 Sabah, semalam.
Mohamad berkata, bot-bot tersebut telah diarahkan berpatah balik ke perairan Filipina dan diberikan amaran agar tidak lagi memasuki perairan Malaysia selaras dengan kehendak undang-undang Akta Kawalan Pencegahan Penyakit Berjangkit 1998 bagi mengekang penularan wabak penyakit COVID-19. – airtimes.my