Home Semasa Penggunaan katil ICU COVID-19 cecah 113 peratus di Lembah Klang

Penggunaan katil ICU COVID-19 cecah 113 peratus di Lembah Klang

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 22 Mei – Kadar penggunaan katil rawatan kritikal (ICU) pesakit COVID-19 di Lembah Klang kini mencapai 113 peratus, setakat Sabtu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi hantaran di media sosialnya berkata, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang pula kadar penggunaan katil telah mencecah 117 peratus.

“Wad-wad biasa di HTAR digunakan untuk merawat pesakit-pesakit ini kerana kadar penggunaan sudah melebihi 100 peratus,

“Hospital-hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini terpaksa menukar fungsi (repurpose) lain-lain kawasan di dalam hospital seperti wad biasa untuk dijadikan ICU sementara dengan melengkapkan katil-katil dengan peralatan perubatan tertentu,” katanya.

Sementara itu, kadar keseluruhan penggunaan katil ICU pesakit COVID-19 di seluruh negara pula mencapai 91 peratus.

Kadar penggunaan katil yang tertinggi adalah Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Selangor, Perak, Kedah, Sarawak, Putrajaya, Kelantan, Negeri Sembilan, Johor dan Melaka melebih 70 peratus.

“Sistem kesihatan negara menghadapi tekanan yang amat besar dan memerlukan bantuan anda untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19,” ujarnya.

Justeru, Dr Noor Hisham menggesa rakyat Malaysia membantu KKM dengan ‘lockdown’ kendiri untuk putusakan rantaian jangkitan COVID-19 dengan kekal duduk di rumah.

“Sekiranya terdapat urusan penting di luar, pastikan patuh kepada SOP. Majikan diseru untuk memberi kebenaran kepada pekerja untuk bekerja dari rumah (BDR) dan menghadkan bilangan pekerja yang hadir ke pejabat pada satu-satu masa,” ujarnya.

Pada Jumaat, Malaysia merekodkan sebanyak 6,493 kes baharu menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara ini meningkat kepada 498,795 kes dengan 50 kematian baharu. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!