KUALA LUMPUR, 21 Mei – Gencatan senjata yang dimuktamadkan antara Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (HAMAS) dan Rejim Israel bagi menamatkan peperangan di wilayah Gaza tidak seharusnya dilakukan.
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, walaupun gencatan senjata tersebut amat dialu-alukan, namun ia tidak seharusnya mematikan gesaan agar pencerobohan Rejim Zionis ke atas Masjid Al-Aqsa dan seluruh kompleks persekitarannya serta pengusiran rakyat Palestin dari kampung halaman mereka di Sheikh Al-Jarrah oleh Israel dihentikan serta merta.
Menurutnya, sudah tiba masanya untuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) mengemukakan pelan jangka panjang secara menyeluruh yang perlu dilaksanakan demi memartabatkan hak rakyat Palestin.
Muhammad Faisal berkata, ABIM menggesa Majlis Keselamatan PBB di bawah mandat Perkara 41 Piagam PBB untuk meluluskan operasi keamanan ke Palestin untuk menjaga serta memberi jaminan keselamatan kepada penduduk awam di negara tersebut.
“PBB serta OIC juga boleh menubuhkan misi tentera pengaman khusus di Palestin serta wilayah bergolak disekitarnya. Mandat tentera pengaman ini tidak dihadkan pada tempoh tertentu,
“Keganasan yang sentiasa berulang sejak beberapa dekad lalu adalah justifikasi penting untuk badan antarabangsa agar segera bertindak untuk menangani sebarang kemungkinan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam masa sama, ABIM menggesa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) kekal konsisten dan mempercepat proses pendakwaan ke atas Israel.
“Pendakwaan ini berasaskan pada kesalahan Rejim Israel yang mencabuli Resolusi 2334 Majlis Keselamatan PBB,
“Resolusi ini mengesahkan bahawa pendudukan haram Israel di wilayah Palestin serta Jerusalem Timur (Baitul Maqdis) adalah tidak sah. Justeru ia harus dianggap sebagai pelanggaran yang ketara terhadap undang-undang antarabangsa,” ujarnya.
Tambahnya, ABIM turut merakamkan penghargaan kepada rakyat Malaysia serta masyarakat antarabangsa di atas sokongan yang diberikan kepada rakyat Palestin sejak sekian lama.
“Tekanan yang diberikan ke atas Israel sepanjang konflik ini membuktikan suara kemanusiaan adalah kuasa keramat yang boleh mengubah dunia,” jelasnya.
Pagi tadi, Hamas setuju melakukan genjatan senjata diadakan selepas 11 hari pertempuran yang menyaksikan ratusan korban.
Gencatan senjata itu diraikan penduduk Palestin yang membanjiri jalanan selepas 11 hari terpaksa melindungkan diri daripada serangan Israel.
Mereka juga melaungkan takbir sekali gus menunaikan solat subuh berjemaah secara besar-besaran. -airtimes.my