Home Pertahanan dan Keselamatan Masih degil, 29 PATI ditahan dalam Op Benteng semalam

Masih degil, 29 PATI ditahan dalam Op Benteng semalam

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 20 Mei – Seramai 29 pendatang asing tanpa izin (PATI) telah ditahan semalam menerusi Operasi Benteng (Op Benteng) yang dijalankan bagi mengekang jenayah rentas sempadan serta penularan wabak COVID-19 di seluruh negara.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pasukan keselamatan turut merampas 8 kenderaan darat.

“Sebanyak 146 buah bot atau kapal turut dikesan di perairan negara melalui 11 aktiviti penglihatan,” katanya dalam kenyataan mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hari ini.

Dalam masa yang sama, beliau turut menjelaskan, Op Benteng yang melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) serta agensi-agensi keselamatan lain turut menjalankan 411 Sekatan Jalan Raya (SJR), semalam.

“Sebanyak 314 SJR melalui Operasi Penawar yang melibatkan ATM, PDRM dan RELA. Manakala Op Benteng PDRM sebanyak 88 SJR dan Op Benteng AKSEM (9),” tambahnya.

Selain itu, Ismail Sabri berkata Task Force Pematuhan oleh PDRM telah menahan 495 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Daripada jumlah itu, seramai 468 individu telah dikompaun manakala 27 lagi direman,

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk gagal merekod butiran diri atau daftar masuk pelanggan (143); tidak memakai pelitup muka (126); tidak patuh arahan kawalan pergerakan (84); tiada penjarakan fizikal (47); aktiviti pusat hiburan (15); rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran (8) dan lain-lain (72),”jelasnya. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!