Home Pertahanan dan Keselamatan Rompak hasil laut negara, APMM tahan bot nelayan asing di Miri

Rompak hasil laut negara, APMM tahan bot nelayan asing di Miri

by Nurulhuda

MIRI, 19 Mei – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Miri telah menahan sebuah bot nelayan Vietnam dan sebuah bot nelayan tempatan atas pelbagai kesalahan dengan jumlah keseluruhan tangkapan bernilai RM500,000, semalam.

Pengarah Zon Maritim Miri, Kepten Maritim Md. Fauzi Othman berkata, tangkapan pertama dilakukan terhadap bot nelayan asing Vietnam pada jam lebih kurang 8.30 pagi oleh aset Maritim Malaysia pada kedudukan 32 batu nautika dari Kuala Niah.

“Menyedari kehadiran aset APMM, bot tersebut melepaskan peralatan menangkap ikan sebagai cubaan untuk melupuskan bahan bukti dan telah mencuba melarikan diri dari diperiksa oleh pihak penguat kuasa,

“Anggota APMM mengambil masa hampir 50 minit mengejar serta memintas tersebut dan berjaya diberhentikan setelah dihimpit rapat,” katanya dalam hantaran dalam media sosial milik APMM, hari ini.

Md. Fauzi berkata, pemeriksaan lanjut mendapati bot tersebut tidak mendapat kebenaran dari Pengarah Perikanan Malaysia untuk melakukan aktiviti menangkap ikan.

Menurutnya, kesemua 6 kru berserta tekong, lelaki warga Vietnam, berumur dalam lingkungan 29 hingga 45 tahun gagal mengemukakan sebarang dokumen perkenalan diri ketika diperiksa.

Manakala tangkapan kedua adalah bot nelayan tempatan pada jam lebih kurang 10.00 pagi pada jarak 38 batu nautika dari Kuala Niah.

Beliau berkata, bot tersebut memiliki lesen pendaftaran yang sah namun telah mengemukakan surat kebenaran menggunakan kru warga asing yang telah tamat tempoh.

“Bot tersebut dikendalikan oleh seorang tekong dan 6 kru, lelaki warganegara Vietnam yang berumur dalam lingkungan 20 hingga 62 tahun,

“2 daripada kru mempunyai passport negara Vietnam yang sah manakala selebihnya tidak memiliki passport dan hanya memiliki kad pas lawatan untuk bekerja sementara yang telah tamat tempoh,” ujarnya.

Kesemua kru, bot serta diesel lebih kurang 8000 liter dan juga 500 kilogram ikan campur dianggarkan bernilai RM500 ribu telah ditahan dan diiring ke Pusat Tahanan Vesel Kampung Pulau Melayu, Miri untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu menjalankan aktiviti perikanan di perairan Malaysia tanpa kebenaran yang sah dan Akta Imigresen 1959/63 kerana telah gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Kesemua kru akan menjalani ujian saringan COVID-19 oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia sebagai langkah berjaga-jaga setiba di jeti. –airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!