Home Semasa Penjawat awam sokong Israel ditahan positif dadah

Penjawat awam sokong Israel ditahan positif dadah

by Air Times News Network

MELAKA, 19 Mei – Seorang penjawat awam yang menyatakan sokongan terhadap Israel secara terbuka di media sosial, ditahan pihak polis selapas didapati positif dadah jenis morphine, semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, suspek berusia 31 tahun itu telah dipanggil untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.

“Pada 18 Mei 2021 jam lebih kurang 11.13 pagi, polis Melaka Tengah telah terima laporan berkaitan kes video tular 1 lelaki Melayu menyokong Israel dalam aplikasi TikTok,

“Hasil siasatan yang dijalankan, mendapati suspek telah memuat naik video dengan menggunakan nama @pahlawan90 berdurasi 59 saat yang menyatakan sokongan terhadap Israel,

“Video tular tersebut telah menimbulkan reaksi negatif daripada masyarakat kerana dilihat menyentuh sensitiviti agama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing yang telah dijalankan ke atas suspek didapati positif dadah.

“Suspek ditahan untuk siasatan berasingan dijalankan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dibawah ke mahkamah hari ini

“Kemudian suspek dibawa ke mahkamah hari ini dan perintah tahanan reman selama 2 hari diperolehi,” ujarnya.

Tambahnya, pihak polis juga merampas sebuah telefon bimbit daripada suspek yang dipercayai digunakan ketika memuat naik video di aplikasi TikTok.

“Daripada siasatan yang dijalankan disyaki suspek memuat naik video tersebut ketika dibawah pengaruh dadah,

“Kes disiasat dibawah Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia,” jelasnya.

Sementara itu, Afzanizar menyeru orang awam supaya menggunakan platform media sosial dengan bertanggungjawab bagi mengelakkan membuat kenyataan yang menyentuh sensitiviti mana-mana agama dan masyarakat yang berbilang kaum. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!