KUALA LUMPUR, 16 Mei – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan sokongan supaya Malaysia menerajui bersama-sama Indonesia dan Brunei mengeluarkan satu kenyataan sebulat suara mengutuk serangan rejim Israel terhadap Masjid al-Aqsa dan Semenanjung Gaza.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan berkata, Baginda bertitah menegaskan, bahawa kerajaan menyokong dan mengalu-alukan cadangan untuk mengadakan persidangan tergempar Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) bagi membincangkan isu keganasan tersebut yang dijadualkan hari ini.
Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa dukacita dan sedih atas pencerobohan serta serangan ganas tentera Israel terhadap Palestin.
Menurutnya, Baginda menyifatkan serangan berterusan terhadap rakyat Palestin pada hari-hari terakhir bulan Ramadhan adalah sebagai perbuatan keji dan tindakan yang amat zalim serta tidak berperikemanusiaan.
“Lanjutan kepada perutusan khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai Palestin semalam, Seri Paduka menzahirkan sokongan supaya Malaysia menerajui serta bersama-sama dengan Indonesia dan Brunei untuk mengeluarkan satu kenyataan bersama mengutuk sekeras-kerasnya serangan zalim rejim zionis Israel ke atas Palestin,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ahmad Fadil berkata, Baginda turut bertitah agar rakyat Malaysia sentiasa bersolidariti bersama Palestin, ke arah mencapai aspirasi negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan garis sempadan PRA-1976 dengan Baitul Maqdis sebagai ibu kota Palestin.
“Baginda menzahirkan harapan agar seluruh rakyat Malaysia terus memperjuangkan prinsip keadilan, hormat menghormati di samping menolak serta menentang sebarang bentuk keganasan dan kezaliman sesama manusia,” tambahnya.
Baginda turut menitahkan pengurusan masjid, surau serta rakyat di kediaman sendiri untuk mengadakan solat hajat dan doa selamat selepas solat Maghrib esok bagi memohon kesejahteraan rakyat Palestin daripada niat jahat rejim Israel. – airtimes.my