Home Semasa COVID-19: 44 pesakit meninggal dunia hari ini

COVID-19: 44 pesakit meninggal dunia hari ini

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 15 Mei – Sebanyak 44 kes kematian di 6 negeri akibat COVID-19 dicatatkan setakat tengah hari tadi, sekali gus menjadikan angka kematian harian tertinggi kedua direkodkan dalam masa seminggu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 44 kes kematian hari ini melibatkan 26 kes di Selangor, 5 di Kelantan, 4 di Sarawak, masing-masing 3 kes di Kedah dan Johor.

Manakala, beliau berkata, 2 lagi kes kematian direkodkan di Wilayah Persekutuan dan 1 di Negeri Sembilan.

Beliau berkata, kes kematian hari ini membabitkan 43 rakyat tempatan dan seorang warga asing.

Menurutnya, kesemua mereka berusia di antara 48 hingga 92 tahun dan kebanyakannya mempunyai pelbagai penyakit kronik.

“Kes kematian hari ini terdiri daripada 11 wanita dan 33 lelaki,

“Manakala, 4 mangsa tidak mempunyai rekod penyakit kronik,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan situasi semasa COVID-19 di negara, hari ini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham turut berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut merekodkan 15 kluster jangkitan baharu COVID-19, dengan 8 daripadanya kluster tempat kerja, 4 kluster keagamaan dan masing-masing satu kluster institusi pendidikan Kementerian Pendidikan, institusi pendidikan lain serta kumpulan berisiko tinggi.

“KKM mengesahkan sebanyak 4,140 kes harian terbaru dicatatkan, sekali gus menjadikan jumlah kumulatif pesakit di Malaysia sebanyak 466,330 kes,

“Manakala, kes pesakit sembuh pula adalah sebanyak 3,432 kes dan ia menjadikan jumlah keseluruhan pesakit sembuh dari wabak ini sebanyak 422,329 kes,

“Sehingga hari ini, seramai 503 pesakit mendapat rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 272 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan,” tambahnya. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!