KUALA LUMPUR, 11 Mei – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru semua pihak mengenepikan perbezaan dan kepentingan diri masing-masing untuk bersama berganding bahu membantu kerajaan serta petugas barisan hadapan menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dan usaha memerangi COVID-19.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan berkata, baginda menzahirkan kebimbangan dengan situasi terkini wabak COVID-19 yang masih tidak menunjukkan sebarang tanda penurunan mendadak sejak kes positif harian dicatatkan mencecah 4,000 kes di negara ini sejak minggu lalu.
“Oleh hal yang demikian, Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan agar kerajaan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan rakyat melipatgandakan lagi usaha yang sedang dan akan dilakukan untuk melandaikan kes positif harian wabak ini yang telah memberikan kesan kepada semua pihak tanpa mengira latar belakang,” katanya.
Al-Sultan Abdullah juga amat memahami keluh kesah rakyat di peringkat akar umbi yang terjejas teruk akibat penularan COVID-19.
“Sehubungan dengan itu, baginda menzahirkan harapan agar masalah dan kelangsungan hidup rakyat ditangani serta dipelihara oleh kerajaan dan semua pihak yang bertanggungjawab,” titah baginda.
Baginda turut menasihati rakyat untuk berada di rumah dan tidak keluar jika tiada keperluan mendesak, susulan keputusan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara bermula esok hingga 7 Jun depan.
“Ini akan membantu petugas barisan hadapan mengekang rantaian jangkitan COVID-19 di negara ini dengan berkesan,
“Masyarakat secara umumnya dilarang sama sekali untuk merentas negeri dan daerah mengikut keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),
“Perkara ini selaras dengan prinsip menjaga kemaslahatan ummah dan juga Hifzu AnNafs,” jelas kenyataan itu.
Seri Paduka Baginda turut mengulangi titah nasihat baginda baru-baru ini supaya rakyat mengutamakan keselamatan dan kesihatan diri serta keluarga dengan sentiasa berdisiplin mematuhi larangan-larangan serta arahan-arahan terkini yang ditetapkan oleh MKN.
“Titah nasihat baginda itu adalah bagi mengelakkan negara ini dibadai tsunami COVID-19 seperti yang dialami oleh beberapa negara di Asia Selatan dan Eropah,” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara.
Al-Sultan Abdullah juga menzahirkan keyakinan bahawa dengan kerjasama padu dan komitmen tinggi daripada semua pihak, Malaysia mampu melandaikan penularan jangkitan COVID-19 demi keselamatan diri dan kesejahteraan negara yang kita cintai bersama ini.
“Mengambil keberkatan bulan Ramadan yang mulia ini dan menjelangnya sambutan Hari Raya Aidilfitri, Seri Paduka Baginda dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong mengambil kesempatan ini mengajak rakyat untuk bersama baginda berdua mendoakan semoga negara sentiasa diberkati dan dilindungi serta ancaman wabak COVID-19 ini dapat diakhiri dengan segera,” titah baginda. – airtimes.my