Home Pertahanan dan Keselamatan JHEV ATM: Penubuhan parti politik veteran tentera langgar undang-undang

JHEV ATM: Penubuhan parti politik veteran tentera langgar undang-undang

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 10 Mei – Mana-mana Persatuan Veteran yang terlibat dalam aktiviti atau kegiatan politik sama ada secara langsung atau tidak langsung adalah menyalahi Akta 740.

Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam kenyataan berkata, tindakan sewajarnya sehingga pembatalan atau penggantungan pendaftaran persatuan yang terlibat boleh diambil oleh Pendaftar di bawah Seksyen 18, Akta 740.

“Veteran ATM telah membuat permohonan penubuhan parti politik iaitu Parti Kemakmuran Negara sebagaimana yang telah dilaporkan dalam sidang media ‘Veterans March to Parliament’ (Veteran Berarak Ke Parlimen) di Hotel Royale Chulan, Damansara pada 4 Mei lalu,

“Melalui sidang media tersebut, menjelaskan bahawa penubuhan Parti Kemakmuran Negara (Kemakmuran) adalah ekoran daripada kegagalan kerajaan dalam menangani isu-isu yang melibatkan veteran ATM,” katanya.

Sehubungan itu, JHEV ATM berpandangan bahawa kenyataan tersebut adalah salah dan tidak menggambarkan realiti semasa kerana kerajaan melalui Kementerian Pertahanan sentiasa berusaha untuk memperjuangkan nasib warga veteran ATM.

Pada 4 Mei lalu Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebulat suara bersetuju untuk menyertai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dengan menubuhkan Kemakmuran untuk membela dan memperjuangkan nasib rakyat dan veteran tentera.

Pengerusi Jawatankuasa Induk Gerakan Parlimen 15.21, Kapten Datuk Sharuddin Omar (Bersara) berkata, parti Kemakmuran akan meletakkan 50 calon di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU-15 kelak.

Beliau berkata, penglibatan veteran dalam perjuangan ini adalah atas dasar peribadi dan secara sukarela dengan tidak melibatkan mana-mana persatuan atau kelab veteran yang sedia ada.

“Ini kerana pematuhan terhadap Akta Veteran tahun 2012 (Akta 740) yang melarang persatuan dan kelab veteran dari telibat dalam aktiviti politik,” jelasnya. –airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!