Home SemasaGlobal Malaysia kutuk serangan Israel di Masjid Al-Aqsa

Malaysia kutuk serangan Israel di Masjid Al-Aqsa

by Air Times News Network

PUTRAJAYA, 9 Mei – Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan Malaysia mengecam sekeras-kerasnya pencerobohan dan serangan tentera penjajah Israel bersama pendatang haram Yahudi ke atas rakyat Palestin serta para jemaah yang beribadah di Masjid Al-Aqsa, pada Jumaat.

Beliau berkata, pencerobohan dan serangan ini adalah satu perbuatan zalim, malah kerajaan Israel mesti dipertanggungjawabkan ke atas pelanggaran hak asasi manusia serta undang-undang antarabangsa.

“Ramai rakyat Palestin tercedera dalam serangan tersebut. Penceroboh mensasarkan kepada para jemaah yang sedang menunaikan solat di hari-hari terakhir Ramadan di Masjid Al-Aqsa yang jelas merupakan satu bentuk penghinaan terhadap umat Islam dan kemanusiaan,

“Malaysia juga mengecam sekeras-kerasnya semua pengusiran secara paksa rakyat Palestin dari negara mereka termasuk yang berada di kejiranan Sheikh Jarrah di wilayah timur Baitulmaqdis,

“Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa untuk bertindak segera dan tegas untuk menentang kezaliman terbaru serangan Israel ini,” katanya dalam kenyataan semalam.

Tambahnya, Malaysia sentiasa memberi sokongan padu kepada rakyat Palestin dan perjuangan rakyat Palestin dalam mencapai kebebasan daripada penjajah haram Israel.

Malaysia turut menyokong merealisasikan aspirasi rakyat Palestin untuk membentuk negara yang merdeka dan berdaulat berdasarkan garis sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Palestin.

Terdahulu, sekurang-kurangnya 200 rakyat Palestin cedera selepas polis Israel menyerbu Masjid Al-Aqsa dan menembak jemaah menggunakan peluru getah dalam kejadian di wilayah timur Baitulmaqdis. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!