KUALA LUMPUR, 4 Mei – Polis telah menahan 6 lelaki termasuk Yusuf Azmi bagi membantu siasatan berhubung video tular kejadian seorang lelaki warga asing dipukul oleh sekumpulan lelaki di kawasan kaki lima kedai di Taman Alam Jaya Batu 9 Cheras, semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya telah menahan 6 orang lelaki yang berusia di antara 24 hingga 54 tahun.
“Walau bagaimanapun, seorang daripada mereka telah diberikan jamin polis malam tadi memandangkan dia adalah pemilik premis di tempat kejadian,” katanya melalui kenyataan, hari ini.
Mohd Zaid berkata, kelima-lima lelaki telah dibawa ke Mahkamah Kajang bagi permohonan reman.
“Kesemua mereka telah direman selama sehari. Kes masih lagi di dalam siasatan ,” tambahnya.
Semalam, tular video menunjukkan sekumpulan 5 hingga 6 lelaki mengepung dan menyoal seorang lelaki dipercayai warga asing di hadapan sebuah premis kedai.
Menerusi video yang berdurasi 1 minit 20 saat itu, seorang suspek memukul lelaki warga asing berkenaan diikuti beberapa rakan suspek melakukan tindakan sama.
Beberapa hantaran di Facebook mendakwa kejadian itu didalangi kumpulan suspek terdiri daripada pengerusi dan pengikut sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang marah kepada lelaki berkenaan kerana didakwa menjual baju cetak rompak NGO terbabit. –airtimes.my